Kos elektrik meningkat, penduduk Long Pasia rayu kerajaan teruskan BELB terbengkalai

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Kampung Long Pasia yang terbengkalai sejak 2017. Gambar kredit Sabah News Today


SIPITANG— Penduduk kawasan Long Pasia di sini memohon agar kerajaan dapat meneruskan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di dua stesen iaitu di Kampung Long Pasia dan Kampung Meligan yang terbengkalai sejak 2017.


Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri Sipitang Sani Miasin berkata projek berkenaan dilaksanakan secara rundingan terus reka dan bina pada 2017 dan sepatutnya disiapkan 2019.


Beliau berkata kegagalan kontraktor utama menyiapkan projek itu merugikan rakyat kerana mereka tidak dapat menikmati kemudahan bekalan elektrik menerusi program BELB yang disediakan oleh kerajaan.


"Projek itu gagal disiapkan mengikut seperti yang dijadualkan dan terbengkalai sejak beberapa tahun lepas tanpa sebarang progress sehingga kini," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


Long Pasia yang terletak 249 kilometer arah Selatan dari Kota Kinabalu merupakan sebuah kawasan pedalaman tanah tinggi, terkenal sebagai kawasan pelancongan, dan ia hanya boleh dikunjungi dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang masa perjalanan menjangkau lebih tiga jam, atau perjalanan udara.


BELP merupakan sebuah program menyediakan bekalan elektrik 24 jam yang mencukupi, dan terjamin kepada penduduk khususnya di luar bandar di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.


Sani berkata projek BELB sistem solar hibrid yang dilaksanakan itu mampu membekalkan tenaga elektrik kepada lebih 500 rumah di tujuh buah kampung iaitu Kampung Long Pasia, Kampung Meligan, Kampung Ulu Bole, Kampung Mangayam, Kampung Rundulang, Kampung Iburu dan Kampung Long Mio.


"Pembinaan stesen hibrid solar di dua stesen itu amat penting memandangkan kampung-kampung berkenaan belum menikmati kemudahan bekalan elektrik," katanya.


Sementara itu Anthony Pikut, 32, seorang pemandu pelancong berkata, penduduk di kawasan Long Pasia pada masa ini terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk bekalan elektrik kerana bergantung kepada generator diesel.


“Penduduk sini bukan orang kaya, ramai buat kerja kampung. Ada pelancongan boleh jugalah cari pendapatan, tetapi bila COVID-19 baru-baru ini tiada pelancong, susah juga, jadi bila ada elektrik ini bukan sahaja penduduk dapat manfaat, sektor pelancongan pun boleh dikembangkan juga,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post