Jawatankuasa Malaysia-AS langkah saksama selesai isu minyak sawit, getah

Gambar hiasan 

PUTRAJAYA-- Penubuhan jawatankuasa kerja antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bagi membanteras isu dakwaan buruh paksa adalah langkah saksama untuk menyelesaikan isu minyak sawit dan getah, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Dalam mengalu-alukan keputusan AS melalui Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (US CBP) untuk menubuhkan jawatankuasa itu dengan kerajaan Malaysia, Zuraida berkata ia merupakan langkah tepat untuk menyelesaikan isu tertunggak yang telah melanda industri tempatan secara tidak adil, khususnya minyak sawit dan getah.

Beliau berkata kebanyakan tuntutan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan berkepentingan lain tidak disahkan oleh pihak berkuasa AS, yang kemudian mengakibatkan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia diharamkan.
“Ini sangat tidak adil kepada industri tempatan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan dilaporkan berkata jawatankuasa itu yang akan bertemu setiap tiga bulan, memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa termasuk merangka polisi yang menyokong inisiatif menghapuskan kegiatan itu.

Saravanan berkata US CBP juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung bulan ini dan menganjurkan bengkel bersama pemain industri.

Zuraida berkata kerajaan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus memastikan industri komoditi negara, antara penyumbang utama pemulihan ekonomi negara selepas pandemik COVID-19, dilindungi daripada propaganda yang mengelirukan daripada pelbagai pihak.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post