Harga rumah Sarawak ‘harga kayangan’



KUCHING: Harga rumah di Sarawak dianggap paling mahal dan tidak mampu dimiliki di seluruh Malaysia.

Demikian pendapat yang diutarakan oleh Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen pada sidang media yang diadakan di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan pendapatan isi rumah selain purata nisbah harga rumah kepada pendapatan rakyat Sarawak pada 2020 yang membimbangkan dan disifatkan sebagai sangat tidak mampu dimiliki.

“Jika pembeli rumah di negeri lain di Malaysia mengambil masa 20 tahun untuk membayar balik pinjaman perumahan, pembeli rumah di Sarawak akan mengambil masa 30 tahun untuk membayar balik pinjaman perumahan.

“Akibat itu, kebanyakan anak muda di Sarawak terbeban dengan pinjaman perumahan melebihi 25 tahun hingga 30 tahun, melainkan mendapat sokongan kewangan ibu bapa,” katanya

Sehubungan itu, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan tersebut, terdapat banyak cara untuk menurunkan harga rumah agar mampu dimiliki oleh rakyat biasa.

Jelasnya, beliau sentiasa bersifat terbuka untuk berbincang dengan Kerajaan Sarawak bagi menangani harga rumah di Sarawak yang dianggap paling mahal dan tidak mampu dimiliki tersebut.

“Disebabkan sekatan masa untuk berdebat, saya tidak akan menyenaraikan langkah-langkah tersebut kerana ia melibatkan analisis dan perbincangan yang sangat terperinci.

“Namun jika anda mengambil berat, saya terbuka untuk berbincang dengan penggubal dasar di Kementerian Perumahan untuk berkongsi pendapat saya,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menggesa supaya Kerajaan Sarawak menubuhkan satu jawatankuasa pilihan di DUN bagi memantau syarikat-syarikat besar kerajaan negeri.

Kerajaan Sarawak ketika ini katanya, sedang memulakan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), Petros dan Sarawak Energy Berhad (SEB) yang melaksanakan pelbagai projek kerajaan.

“Ini semua adalah antara syarikat besar yang tidak bertanggungjawab kepada DUN secara langsung dan sudah tiba masanya jika Sarawak mahu menjadi negeri yang lebih maju, maka perlu ada satu jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan di DUN untuk mengawasi syarikat-syarikat ini.

"Jawatankuasa itu hendaklah terdiri daripada ahli-ahli daripada kedua-dua belah pihak untuk mengawasi syarikat yang beroperasi seperti PETROS, SEDC, SEB dan DBOS," katanya.


Next Post Previous Post