RM32 bilion dana diperlukan membina dan naik taraf jalan di Telang Usan.



KUCHING: Kira-kira RM21 bilion dana diperlukan untuk menaik taraf jalan dan RM11 bilion diperlukan untuk membina jalan baharu di Telang Usan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, anggaran tersebut diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil kira segala faktor berkaitan.

“Disebabkan jumlah yang sangat besar itu, saya mencadangkan agar Kerajaan Sarawak mewujudkan Unit JKR Luar Bandar untuk kawasan Baram atau kawasan lain terutama di bahagian pedalaman,” katanya.

Beliau berkata ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN di sini, pada Isnin.

Menurut Dennis, sesebuah unit JKR itu nanti hanya akan memerlukan peralatan asas seperti jengkaut, lori dan kemudahan lain.

Justeru katanya, jika ia terlalu sukar, beliau menggesa Kerajaan Sarawak meletakkan sejumlah dana misalnya RM3 juta tahun ini kepada Pejabat Daerah Telang Usan, Pejabat Daerah Beluru dan Pejabat Daerah Kecil Bario.

“Dana ini akan digunakan untuk melakukan kerja pembaikan segera apabila ada keperluan dan atas permintaan daripada wakil rakyat,” katanya 

Dalam pada itu kata Dennnis, sebahagian kampung di kawasan Telang Usan tidak mempunyai pilihan selain ‘pakai tangan sendiri’ untuk membaiki jalan dan jambatan balak, hasil peninggalan syarikat pembalakan.

Ia berikutan sesetengah syarikat pembalakan terpaksa meninggalkan ‘pusat operasi’ mereka sehingga kebanyakan jalan balak kini tinggal tanpa pemantauan, katanya.

“Selain itu ia juga disebabkan oleh keputusan Unit Pengurusan Hutan (FMU) baru-baru ini yang memperkenalkan garis panduan baharu aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan syarikat pembalakan mengurangkan saiz operasi mereka.

“Ketika ini, masyarakat di Long Bangan dan Long Win sedang bergelut untuk membaiki jambatan balak di sepanjang jalan menghubungkan mereka ke dunia luar yang rosak teruk akibat hujan lebat.

“Ini berlaku sepanjang tahun melibatkan beberapa bahagian dengan lebih 1,000 kilometer jalan aktif dan bekas pembalakan di seluruh Telang Usan,” katanya lagi.

Selain itu katanya, isu infrastruktur terutamanya perhubungan jalan raya merupakan cabaran besar kepadanya sebagai wakil rakyat sejak 2011, yang mempunyai 88 rumah panjang di kawasan seluas 9,625 kilometer persegi.

"Terdapat kira-kira 1,000 kilometer jalan tanah yang dibina oleh syarikat pembalakan sejak lesen pembalakan diberikan ke atas Baram.

"Ia merangkumi operasi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat setempat dalam kawasan operasi mereka.

“Meskipun berada di sekitar kawasan, sebarang kerosakan pada jalan tanah yang rapuh ini akan dibaiki tepat pada masanya oleh syarikat pembalakan,” katanya.


LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.