Penduduk DUN Stakan azab tanggung kos minyak, sengsara jalan raya sesak akibat ledakan pembangunan tiada perancangan


KUCHING: Kawasan Stakan semakin menjadi tumpuan dengan kepadatan penduduk mencecah 20,000 kediaman merangkumi rumah kampung, perumahan dan kem tentera setakat ini.


Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyeru semua agensi terbabit dalam kelulusan projek perumahan serta bangunan komersial di Stakan melakukan kajian terperinci berhubung isu berkaitan di kawasan itu.


Katanya, antara isu yang sering melanda penduduk di Stakan iaitu masalahan aliran trafik, tekanan air dan banjir kilat.


"Justeru, bagi mana-mana projek yang sudah mempunyai kelulusan tetapi belum dibina, ia perlu dikaji semula dan semua agensi perlu mencari kaedah bagi menyelesaikan isu ini dengan segera," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan DUN di sini, semalam.


Menurut Hamzah yang juga Setiausaha Politik Menteri Kanan Kerja Raya, beliau tidak mahu faktor kelemahan dari segi perancangan menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan.


Berhubung isu aliran trafik, Hamzah memaklumkan bahawa isu tersebut kini menjadi isu yang hangat diperkatakan di media sosial, di kedai kopi atau di mana-mana tempat.


"Kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di waktu puncak dan di luar waktu puncak ini menimbulkan banyak permasalahan dan rungutan dalam kalangan penduduk khususnya pengguna jalan Samarahan-Expressway.


“Boleh dikatakan hari-hari saya dihubungi dan dimaklumkan secara terus atau menerusi media sosial mengenai perkara ini malah penduduk menyamakan keadaan di Stakan

dengan kesesakan di Kuala Lumpur.


“Bayangkan, bagi mereka yang pergi ke pejabat, ada yang perlu keluar sebelum jam 5.30 pagi ataupun 4.30 pagi dan kalau dah terperangkap hampir dua jam, bahan bakar minyak juga akan bertambah,” katanya.


Sementara itu katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah satu-satunya harapan rakyat Sarawak dan tidak pernah berganjak dalam memperjuangkan hak Sarawak.


Menerusi kepimpinan GPS, Hamzah yakin Sarawak menjadi penentu kepada senario politik nasional dan kerajaan di Putrajaya.


Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak perlu merebut peluang daripada kelebihan kedudukan geografinya dengan Indonesia, khususnya Kalimantan.


Sarawak, tegas Hamzah, boleh mewujudkan lebih banyak pelabuhan darat selain Tebedu, untuk membantu memasarkan bahan mentah dari Kalimantan, Indonesia, sekali gus memperkukuhkan lagi perdagangan rentas sempadan antara Malaysia-Indonesia.


“Sekiranya laluan keretapi boleh dibina khusus untuk membawa pelbagai angkutan ulang alik antara Kalimantan ke pelabuhan dalam Sarawak, saya yakin Sarawak akan menjadi satu kuasa besar. 


"Ia bukan hanya dalam Malaysia malah boleh menjadi kuasa baharu ekonomi di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Next Post Previous Post