Rakyat Sarawak nadi ekonomi digital, Abang Jo

Abang Johari merakam gambar kenangan bersama-sama dengan wakil penerima sumbangan Hari Raya dan Gawai Dayak daripada SMA. Gambar kredit Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING-- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu rakyat negeri ini bersama menggerakkan ekonomi digital agar Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.


Katanya ekonomi digital yang memberi kesan nyata ke seluruh dunia, amat penting, terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia membolehkan perusahaan ini dihubungkan secara global, sekali gus memberikan impak kepada ekonomi negara.


Beliau berkata Sarawak harus memanfaatkan potensi besar ekonomi digital kerana ia diramalkan akan menyumbang kepada 25 peratus daripada KDNK dunia yang bersamaan dengan US$25 trilion, dan menurutnya berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, Malaysia merekodkan pendapatan e-dagang sebanyak RM279 bilion pada tahun 2020.


“E-dagang menyumbang 11.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020 berbanding 8.5 peratus pada tahun 2019,” katanya  ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Mantar Gawai Dayak anjuran Lembaga Multimedia Sarawak di sini.


“Sebab itu kita harus mengukuhkan lagi ekonomi digital Sarawak, kita mesti menerima sempadan teknologi baharu seperti Artifical Intelligence (AI), 5G, Internet of Thing (IoT),Cloud,  Blockchain, Big Data, teknologi terkini dan lain-lain yang akan menjadi pemacu teras perkembangan ekonomi,” tambahnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post