-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Ekonomi Singapura berkembang 3.7 peratus pada suku pertama 2022

| Mei 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-25T03:52:35Z
Singapura mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 pada 3.0 hingga 5.0 peratus. Gambar hiasan kredit unsplash

SINGAPURA—Ekonomi Singapura berkembang 3.7 peratus pada asas tahun ke tahun bagi suku pertama 2022, menyederhana daripada pengembangan 6.1 peratus pada suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.


Menurut Prestasi Ekonomi Suku Pertama 2022 republik itu yang diterbitkan hari ini, kementerian berkenaan turut mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 pada 3.0 hingga 5.0 peratus.


Berdasarkan pelarasan musim suku ke suku pula, ekonomi republik itu meningkat sebanyak 0.7 peratus, lebih perlahan daripada pertumbuhan 2.3 peratus pada suku keempat 2021.


Bagi prestasi sektor, sektor pembuatan, antara lain, menambah sebanyak 7.1 peratus tahun ke tahun, meneruskan pertumbuhan 15.5 peratus pada suku sebelumnya.


"Pertumbuhan pada suku tersebut disokong oleh pengembangan keluaran dalam kelompok elektronik, kejuruteraan pengangkutan, pembuatan am dan kejuruteraan ketepatan, yang mengatasi penurunan keluaran dalam kelompok pembuatan bioperubatan dan kimia," katanya.


Sektor pembinaan pula meningkat sebanyak 2.1 peratus tahun ke tahun, susut daripada pertumbuhan 2.9 peratus pada suku sebelumnya apabila aktiviti pembinaan sektor awam dan swasta meningkat pada suku tersebut.


Sektor pengangkutan dan penyimpanan melonjak sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun, menyederhana daripada pertumbuhan 7.5 peratus yang dicatatkan pada suku keempat.


"Dalam lingkungan sektor itu, segmen pengangkutan udara menyaksikan peningkatan yang kukuh dalam aktiviti apabila bilangan penumpang udara yang dikendalikan di Lapangan Terbang Changi meningkat dengan ketara berikutan langkah-langkah sempadan yang semakin dilonggarkan," kata MTI.


Sementara itu, sektor kewangan dan insurans berkembang 4.0 peratus tahun ke tahun, menyederhana daripada pengembangan 5.6 peratus pada suku sebelumnya.


Bagi Tinjauan Ekonomi untuk 2022, MTI berkata sejak Februari, persekitaran ekonomi luaran telah merosot, sebahagiannya disebabkan oleh bermulanya konflik Rusia-Ukraine.


Secara khususnya, kementerian itu berkata konflik berkenaan telah mengganggu bekalan global tenaga, makanan dan komoditi lain, yang mana ini memburukkan lagi tekanan inflasi global dan menjejaskan pertumbuhan banyak ekonomi.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update