-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Sheng Yi nama anak ketiga pasangan panda

| Mei 25, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-05-25T03:49:48Z
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR—Setelah hampir setahun dilahirkan, anak ketiga kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang dari China akhirnya diberikan nama - Sheng Yi - yang bermaksud keamanan dan persahabatan.


Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata panda betina yang dilahirkan pada 31 Mei tahun lepas dengan berat kira-kira 140 gram itu kini berada dalam keadaan sihat dan telah mencapai berat melebihi 27 kilogram.


“Kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengerat dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Majlis Penamaan Anak Giant Panda Ketiga itu.


Majlis itu yang diadakan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara turut dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden Malaysian Zoological Society (MZS) Datuk Zaharin Md Arif.


Sheng Yi mula dipamerkan kepada umum sejak Disember 2021.


Kelahiran kali ini merupakan kelahiran ketiga bagi pasangan panda itu selepas kelahiran Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015 dan dihantar pulang pada 14 Nov 2017 serta Yi Yi pada 14 Jan 2018.


Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Amat Lana pada April berkata pihaknya masih menunggu lampu hijau daripada kerajaan berhubung penghantaran pulang Yi Yi.


Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China itu tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 dan berada di sini bagi tempoh 10 tahun menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.


Bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, dalam laporan pada 2 Dis 2020 berkata setiap anak Giant Panda perlu dihantar pulang ke China apabila usia mencecah 24 bulan dan tidak melebihi usia empat tahun. 


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update