PJKM catat jualan lebih RM54 juta, Nanta

PJKM merupakan usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Gambar arkib

PUTRAJAYA— Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) berjaya dilaksanakan di semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara termasuk kawasan pembangkang yang meliputi 1,702 lokasi dengan purata tujuh lokasi setiap kawasan Parlimen.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata seramai 2.796 juta pengunjung mengunjungi program itu dengan rekod hasil jualan mencecah RM54.548 juta sejak ia dilancarkan pada 2 Dis lepas.


Nanta berkata sepanjang program itu, pelbagai barangan keperluan harian dijual pada harga istimewa sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat dan yang menjadi tumpuan ialah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung serta sayur-sayuran.


"Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah sehingga 31 Mac sahaja, bagaimanapun atas permintaan ramai, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju supaya PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Nanta berkata PJKM merupakan usaha kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


Ia dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Lembaga Pertubuhan Peladang. 


Ia turut disokong 240 rakan strategik daripada pemain industri peruncitan terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya, pembekal dan pemborong. 


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.