Redah bukit tinggi demi dapatkan capaian Internet untuk pasarkan sayur
Nurul Emma menjual sayur dari rumah ke rumah di Kampung Ulak. Foto Ihsan Utusan Borneo. |
Memetik laporan Utusan Borneo Online hari ini, ibu tunggal yang berasal dari Kampung Ulak itu, Nurul Emma, 32, berkata, bukit itu dianggarkan setinggi 200 meter.
Jelasnya, dia melakukan perkara itu berikutan ketiadaan Internet yang kembali menghantui penduduk Kampung Ulak dekat sini sejak Ahad lepas.
"Keadaan itu menjejaskan pendapatan kerana tidak dapat menjual sayur dan menganggu proses pembelajaran anak-anaknya terutamanya yang belajar secara dalam talian.
“Jika gangguan Internet tidak berlaku, saya dapat memasarkan sayur kampung melalui laman sosial serta aplikasi WhatsApp," katanya.
Tambahnya, apabila gangguan Internet kembali berlaku, penduduk terutamanya ibu tunggal sepertinya sukar untuk memasarkan sayur kampung.
"Belum sempat jual sayur sudah layu, memang menjejaskan pendapatan bagi ibu tunggal seperti saya,” jelasnya.
Selain itu, Nurul Emma berkata, ketiadaan Internet amat memberi kesan kepadanya untuk mencari rezeki.
“RM2 mungkin bagi orang lain itu tidak bernilai tetapi bagi saya jumlah itu dapat menampung perbelanjaan saya dan lima anak saya,” ujarnya.
Dengan membesarkan lima anak seorang diri sebagai ibu tunggal, Nurul Emma berkata, dia sentiasa berusaha sedaya upaya mencari pendapatan untuk menyara perbelanjaan anak-anaknya.
Selain itu, dia memberitahu, pembelajaran anak-anaknya terutama yang sulung yang akan memasuki Tingkatan Satu turut terganggu kerana tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Sebagai ibu saya sangat mementingkan proses pembelajaran anak-anak supaya mereka tidak melalui kepayahan dan kesusahan seperti ibu mereka yang hanya berjual sayur untuk menampung perbelanjaan keluarga,” jelasnya.
Ketiadaan capaian Internet katanya sudah diutarakan kepada pihak berkaitan pada hari pertama gangguan itu berlaku dan menyarankan kepada pengguna untuk membuka semua Internet di telefon bimbit mereka.
Tegasnya lagi, sudah beberapa kali mereka membuka talian Internet melalui telefon bimbit namun ia masih tidak dapat dan hanya rangkaian Internet dari negara jiran tertera di kawasan tersebut.
"Masalah ini turut diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam kerana ketiadaan Internet bukan sahaja menjejaskan ekonomi penduduk malah turut mengganggu proses pembelajaran anak-anakdi luar bandar," tambahnya.
Walaupun sudah membuat laporan mengenai masalah ketiadaan Internet kepada pihak berkenaan sejak hari pertama gangguan itu, Nurul Emma berkata, namun sehingga kini tiada kerja membaik pulih dilakukan terutama melihatkan menara telekomunikasi di Kampung Binjai yang terletak berhampiran dengan kampung mereka.
Katanya, penduduk Kampung Ulak sangat terkesan dan berharap pihak berkaitan segera membaik pulih gangguan Internet di kawasan tersebut.