Penduduk di Pekan Kanowit digemparkan dengan penemuan mayat wanita
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 12.50 tengah hari.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit yang diketuai PBK II KUP Yusuf Morni dikerah ke lokasi.
"Sampai di lokasi, Komander Operasi melaporkan telah menemukan satu mayat wanita seperti yang dilaporkan terapung berhampiran jeti Shell Kanowit, Sungai Batang Rajang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mayat tersebut berpakaian lengkap, seluar dan baju-T warna hitam.
Bagaimanapun, katanya tiada pengenalan diri ditemukan semasa operasi dijalankan.
"Tindakan bomba menggunakan pakaian lengkap PPE untuk mengambil mayat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Tambahnya, operasi tamat pada jam 1.40 petang selepas mayat diserahkan kepada polis.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat tersebut.