Lelaki tampar warga emas gara-gara berang kemalangan ditahan polis

Gambar kredit PDRM Miri

MIRI— Polis menahan seorang lelaki warga tempatan kerana dipercayai telah menampar seorang wanita warga emas di pipi kiri dalam satu insiden kemalangan berhampiran lampu isyarat Tudan.

Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu pada Rabu, suspek berusia 32 tahun itu dikatakan telah bertindak agresif terhadap mangsa selepas kedua-dua kereta mereka terlibat kemalangan.

Susulan kejadian, mangsa telah tampil membuat laporan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek ditahan sekitar jam 3 petang Khamis.

Difahamkan, dalam kejadian mangsa berusia 50 tahun itu mengalami kecederaan pada bahagian muka.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan berhemah semasa di jalan raya serta tidak mengambil sebarang tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang," ujar Hakemal.
Next Post Previous Post