Hujan mungkin punca bau busuk dari lokasi bangkai ditanam

Bau dari lokasi boleh berlaku sekiranya hujan lebat beberapa hari selepas aktiviti pelupusan - Dr Rundi Utom

KUCHING— Jabatan Veterinar Sibu dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sibu berpandukan protokol standard (SOP) dalam menentukan lokasi dan kedalaman bangkai babi yang ditanam, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Bagaimanapun, beliau berkata, bau dari lokasi boleh berlaku sekiranya hujan lebat beberapa hari selepas aktiviti pelupusan.

"Penimbunan tanah tambahan ke atas tempat babi ditanam biasanya dapat mengurangkan bau dari bangkai babi yang ditanam tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berkenaan dengan bau busuk selepas aktiviti penakaian babi di Jalan Oya, Sibu.

Katanya lagi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah diarah untuk mengambil tindakan susulan ke atas lokasi penakaian babi.

Mengenai isu karkas babi dibuang di kawasan Sungai Rait Miri, Rundi berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menemukan 85 ekor karkas babi pada 19 Februari 2022 sewaktu siasatan dibuat.

Jelasnya, babi yang mati ini dipercayai dijangkiti oleh Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang mana boleh menyebabkan kematian 100 peratus kepada babi.

"Jabatan telah mengambil inisiatif dengan mengambil sampel bagi ujian makmal dan
akan mengambil tindakan terhadap penternak yang membuang babi tersebut.”

"Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri telah diarahkan untuk mengambil
tindakan lanjut bagi menangani masalah ini dan memastikan ia tidak berulang," tegas Rundi.

Mengulas lanjut, katanya, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri juga sedang melaksanakan operasi persampelan aktif ke ladang-ladang babi komersial di Bahagian Miri dan sehingga 24 Februari 2022.

Tambahnya, sebanyak lapan ladang melibatkan 310 sampel telah diambil dan dihantar ke Makmal Diagnosis Veterinar Sarawak untuk pengesanan ASF ini.

Selain itu, Rundi mengarahkan penternak babi di Sarawak untuk terus berwaspada dan perlu mengetatkan bio-sekuriti ladang masing masing untuk menghindari ladang babi mereka dijangkiti serta mengambil langkah berjaga-jaga.

"Masyarakat tidak perlu risau kerana penyakit ini hanya menjangkiti ternakan babi dan tidak zoonotik. Daging babi yang ada di pasaran adalah selamat untuk dimakan," ujarnya.
Next Post Previous Post