Sarawak rekod 26 lagi kes Omicron

KUCHING: Sarawak merekodkan 26 kes positif COVID-19 melibatkan varian Omicron bagi tempoh 14 Januari 2022 hingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Jelasnya, jumlah kes itu daripada 186 kes baharu yang telah dilaporkan di Malaysia bagi tempoh tersebut yang kesemuanya merupakan Varian yang membimbangkan (VOC) iaitu varian Omicron (B.1.1.529) membabitkan penularan tempatan dan import.

"Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) telah mengenalpasti 26 kes baharu," katanya dalam kenyataan berhubung situasi dan maklumat terkini mengenai mutasi spike protein COVID-19 di Malaysia hari ini. 

Jelasnya, kes Omicron itu dikenalpasti oleh Integrative Pharmacogenomics Institute, Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM) 46 kes baharu dan The Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre, Universiti Malaya (TIDREC-UM) 43 kes baharu. 

"Manakala,  Malaysia Genome and Vaccine Institute (MGI) telah mengenalpasti 43 kes baharu dan Institute of Medical Research (IMR) telah mengenalpasti 28 kes baharu. 

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest  (VOI) adalah sebanyak 6,432 kes," ujarnya. 

Kata Dr Noor Hisham lagi, daripada jumlah yang dikesan tersebut, 6,412 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. 

"Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 5,726 kes varian Delta; 439 kes varian Omicron; 233 kes varian Beta; dan 14 kes varian Alpha

"Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak; 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa; dan tiga kes varian Eta," dedahnya. 

Next Post Previous Post