380,047 rakyat Sarawak belum divaksin

KUCHING: Seramai 380,047 rakyat Sarawak yang layak menerima dos penggalak, masih belum mengambil suntikan itu setakat ini.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada media setelah mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Beli Belah The Spring petang tadi.
Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 66,184 rakyat direkodkan di Kuching diikuti 71,362 di Miri, 38,284 di Sibu dan seramai 31,670 di Sarikei.

"Oleh itu, saya menyeru kepada mereka yang masih belum tampil mendapatkan suntikan dos penggalak supaya segera berbuat demikian. Dapatkan suntikan anda di PPV Integrasi, klinik kesihatan awam dan swasta dan di mana-mana PPV yang lain," katanya.
Tambah Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu, sebanyak 75.7 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi di Sarawak telah menerima dua suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Mengikut pecahan usia katanya, sebanyak 91.8 peratus individu berusia 18 tahun ke atas telah lengkap menerima dua dos vaksin manakala bagi individu berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun, sebanyak 17.88 peratus daripada jumlah itu juga telah divaksin.

"Pelaksanaan pemberian dos penggalak di Sarawak berjalan lancar dan kerajaan amat menghargai kerjasama semua rakyat dalam menjayakan program tersebut.

"Bagaimanapun, kita ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diarahkan kerana ia merupakan perkara penting supaya kita dapat mengekang penularan Covid-19 di Sarawak," katanya.


Next Post Previous Post