Bomba raikan Wira padam kebakaran

KUCHING: Saya mendengar jeritan meminta tolong dan melihat banyak asap sebelum mengarahkan enam pemuda mengambil alat pemadam api untuk memadamkan api tersebut, kata Anthony Gasah.

Anthony, antara enam penghuni Rumah Panjang Dennis Nyalamba di Saratok yang menerima sijil penghargaan atas keberanian menyelamatkan kediaman mereka daripada musnah ketika kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, Anthony berkata bahawa dia berada di luar rumah panjang ketika kebakaran berlaku sebelum mendengar jeritan penghuni lain menjerit meminta pertolongan.

Berkongsi kepada pemberita ketika ditemui hari ini, Anthony berkata dia segera mengarahkan enam pemuda rumah panjang mengambil alat pemadam api dan terus memadam api setelah melihat kepulan asap yang bermula di tingkat atas rumah panjang berkenaan.

"Kami tidak menyelamatkan harta dahulu, tetapi memberi keutamaan untuk memadamkan api sebelum ia menjadi lebih besar. Kalau nak selamatkan barang, api akan merebak nanti," katanya.

Selain itu, Anthony menambah kebakaran bermula di salah sebuah bilik rumah panjang di tingkat atas sebelum ianya merebak dengan cepat.

Sehubungan itu katanya, sekiranya mereka tidak bertindak cepat, sudah tentu penghuni rumah panjang akan kehilangan tempat tinggal malah tidak mustahil berlakunya kejadian kehilangan nyawa insan tersayang. 

"Tambahan lagi, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di dalam bilik itu. Kami tidak tahu dia berada di situ pada mulanya kerana dia bersembunyi di bawah selimut tetapi dia mula menangis ketika kami menggunakan alat pemadam api," ujarnya.

Dalam pada itu, Evanda Dana Manan dan Evanhoe Melaka Manan, 18, yang turut membantu memadamkan api berkata, mereka diajar cara menggunakan alat pemadam api di sekolah.

"Kami amat berterima kasih atas latihan itu. Kami dapat menggunakannya apabila berlakunya kejadian seperti ini (kebakaran)," kata Evanda.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, Khirudin Drahman menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh penduduk Rumah Panjang Dennis Nyalambai di Saratok dalam satu majlis ringkas yang diadakan hari ini.

Tujuh penerima sijil adalah Anthony Gasah Ipun, Asson Juan, Anyai Jingan, Spencer Nanang Anji, Evanda Dana Manan, Evanhoe Melaka Manan dan Sylvester Undi Asson.


Next Post Previous Post