Polis siasat dakwaan air dicampur

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan susulan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Terrence Naidu kononnya beliau diberi ‘minuman aneh’ sebelum ditahan dalam satu serbuan di Pulau Pinang, Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan itu akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan.

“Sampel ujian air kencing sudah dihantar ke pihak patologi untuk mendapatkan laporan lengkap.”

“Kita maklum ada individu membuat laporan polis ada pihak memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat,”katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.
Beliau menambah, sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis.

Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman 'aneh' sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin, kerana disyaki positif dadah.

Katanya, sebelum ditahan beliau dijemput bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau yang dibebaskan selepas ditahan turut membuat laporan polis bahawa terdapat anasir yang mencurigakan.


Next Post Previous Post