RECODA menang Anugerah Inovasi Antarabangsa 2021

KUCHING: KUCHING: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) memenangi Anugerah Inovasi Antarabangsa (IIA) 2021 bagi kategori Perkhidmatan dan Penyelesaian untuk Sistem Pengurusan Projek RECODA (RPMS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku pengerusi lembaga RECODA menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga pengerusi Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).

Menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri, badan berkanun negeri itu diumumkan pemenang pada 9 Dis 2021 dalam majlis maya di Singapura.
RECODA memenangi anugerah itu selepas bersaing dengan lebih 160 peserta dari 30 negara yang melibatkan 24 industri.

IIA 2021 dianjurkan oleh Enterprise Asia sejak 2006, peneraju anugerah bagi mengiktiraf inovasi cemerlang dan menggalakkan organisasi mencari penyelesaian inovatif menyelesaikan masalah.
RPMS ialah Sistem Papan Pemuka Pemantauan dan Maklumat Projek Digital berasaskan ‘cloud’, bersepadu, inovatif dan interaktif yang digunakan untuk mengurus, menyelia dan memantau kemajuan semasa dan status projek yang sedang dilaksanakan.

Ia membolehkan status kemajuan projek semasa dijejak dan dipantau secara maya melalui peranti mudah alih.

“RPMS menyediakan maklumat kemajuan, peratusan, bilangan sumber, indeks prestasi, jangkaan tarikh siap, prestasi kontraktor selain sumber kewangan.”

“Ini membolehkan RECODA memantau keseluruhan projek dan melaporkan perkembangan dan kelancaran status projek untuk membolehkan pihak berkepentingan membuat keputusan,” kata kenyataan itu.
Inovasi RECODA turut diperakui InnoMark InnoMark®️, yang merupakan pensijilan antarabangsa yang mengiktiraf inovasi cemerlang melalui kriteria 8-D yang ketat iaitu pembangunan idea, penyelesaian masalah, pelaksanaan, penyatuan, pembezaan, paten, hasil dan prestasi dan masa, nilai dan usaha.

Dengan pelaburan berbilion ringgit dan ratusan projek ditugaskan, RECODA telah memanfaatkan teknologi digital untuk mengurus, memantau dan melaksanakan projeknya dengan lebih baik.

RPMS bermula pada 2019 dengan peringkat konsep manakala pembangunannya bermula pada Julai tahun lalu.
RECODA ialah badan berkanun yang ditubuhkan pada 2006 untuk menyelia dan mengurus Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Selain ditugaskan untuk menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak, RECODA juga merupakan agensi pelaksana bagi projek pembangunan infrastruktur dan sosio-ekonomi di wilayah SCORE, yang meliputi 80 peratus keluasan tanah negeri.

Sejak 2017, RECODA telah diamanahkan oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek pembangunan di wilayah yang diselia oleh tiga agensi pembangunan iaitu Agensi Pembangunan Atas Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4.5 billion.

Sebanyak 263 projek  dilaksanakan termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air, program sosio-ekonomi serta pelan induk.
RECODA juga akan menjadi agensi pelaksana untuk Lebuhraya Pantai Utara sepanjang 88km dan jalan sepanjang 160.5km yang menghubungkan Miri-Marudi, Marudi-Mulu (Kuala Melinau) dan Long Panai-Long Lama.

Next Post Previous Post