Mercun dan bunga api bernilai RM9,000 dirampas


KUCHING: Polis berjaya mematahkan aktiviti penjualan mercun dan bunga api sempena Perayaan Tahun Baru Cina hasil penahanan seorang lelaki tempatan di sebuah premis di Jalan Kempas Kuching di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, seorang lelaki berusia sekitar 20 an telah berjaya diberkas hasil serbuan bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Bahagian Perlesenan Daerah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Ashmon Bajah berkata, sebanyak RM9,000 nilai mercun dan bunga api pelbagai jenis yang telah dirampas dalam serbuan tersebut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashmon menambah, operasi berkenaan akan dijalankan secara berterusan dari masa ke semasa bagi mengekang aktiviti penjualan mercun dan bunga api tanpa permit yang sah. 

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyokong aktiviti berkenaan dengan cara membeli apa jua jenis mercun atau bunga api yang terdapat di pasaran.


Next Post Previous Post