Serangan anjing liar, penduduk Taman Samarindah gesa tindakan segera diambil

KOTA SAMARAHAN: Penduduk Taman Samarindah di sini kini berdepan dengan risiko diserang sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini. 

Malah, kebimbangan terhadap haiwan tersebut disuarakan kerana dikhuatiri akan menyebabkan kawasan tersebut dijangkiti wabak Rabies yang boleh menyebabkan kematian kepada individu yang terkena gigitan. 

Menurut seorang penduduk di Taman Samarindah yang berusia 39 tahun, dia bersama anak perempuannya yang berusia 9 tahun pernah mengalami insiden dikejar anjing liar di taman perumahan berkenaan baru-baru ini. 

Jelasnya, dalam insiden yang berlaku sekitar jam 6.15 petang pada 16 Januari lalu itu, anaknya terkena gigitan di kaki. 

"Kejadian ini berlaku semasa saya menunggang motosikal bersama anak saya dari lorong Samarindah baru 12B dan apabila melalui lorong 16, 17 ada sekumpulan anjing mengejar kami. 

"Seekor daripada anjing terbabit menggigit kaki anak saya," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Akibat gigitan itu, katanya lagi, kaki anaknya luka dan pada sebelah malamnya sedikit bengkak pada bahagian gigitan. 

"Selepas kejadian, saya membawa anak saya terus ke Unit Kecemasan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (Kota Samarahan). 

"Anak saya kemudian dirujuk ke Klinik Gigitan Anjing Hospital Umum Sarawak untuk suntikan vaksin Rabies dan antibodi," jelasnya. 

Tambahnya lagi, semasa menemani anaknya dirawat di hospital, dia ada mendengar cerita seorang individu yang juga mengguna motosikal digigit anjing di taman tersebut. 

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menangani segera anjing liar di kawasan perumahan tersebut dengan kadar segera. 

Selain itu, beliau meminta pemilik anjing untuk mengikat dan tidak membiarkan anjing peliharaan mereka berkeliaran tanpa dipantau. 


Next Post Previous Post