Penyelewengan punca minyak masak paket kurang stok

KUCHING: Terdapat unsur penyelewengan dalam penjualan minyak masak paket hingga menyebabkan berlakunya kekurangan stok sejak beberapa bulan lalu di negara ini.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato Rosol Wahid sekali gus mengakui segelintir syarikat dan pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan penyelewengan tersebut berdasarkan maklumat yang diterima.
Menurut Rosol, beliau dimaklumkan bahawa golongan tersebut mengambil minyak paket dan dibotolkan semula dan dijualkan kepada pengguna kerana harga minyak paket lebih murah iaitu sebanyak RM2.50 berbanding harga minyak botol.

"Selain itu, kita turut dimaklumkan bahawa terdapat segelintir pihak membeli minyak paket subsidi itu dan dicampurkan bersama minyak yang sudah digunakan untuk dijual dengan harga yang lebih mahal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan pematuhan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Komuniti Stutong di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Rosol berkata ia disebabkan harga minyak yang telah digunakan lebih mahal berbanding yang belum digunakan iaitu bernilai RM4.50 sekilo.
Di samping itu, Rosol memaklumkan ada juga pihak yang tidak layak menggunakan minyak subsidi turut membeli minyak yang dikhaskan kepada golongan B40 itu seperti golongan M49, T20, pekedai dan pemilik restoran.

Disebabkan masalah komoditi sudah mahal, golongan itu terpaksa membeli minyak paket yang boleh didapatkan dengan harga yang lebih murah, katanya.
Dalam perkembangan lain, peniaga makanan kini dibenarkan menaikkan harga barangan susulan kenaikkan harga barangan mentah yang semakin meningkat.

"Bagaimanapun, peniaga diingatkan supaya kenaikkan harga barangan tidak melibatkan sebarang unsur mencatut selain pihaknya juga sudah berunding dengan peniaga dan meminta mereka agar tidak menaikkan harga barang secara mendadak.
"Ia bagi memastikan peniaga tidak mengalami kerugian disebabkan peningkatan harga bahan mentan namun, janganlah mengaut keuntungan terlampau tinggi," jelasnya.

Tambah beliau lagi, KPDNHEP juga telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi meningkatkan bekalan ayam selain menstabilkan harga ayam di pasaran.

Next Post Previous Post