Jambatan Batang Lupar kurang pekerja?

Kontraktor dan JKR digesa selesaikan masalah di tapak pembinaan dengan segera

SAMARAHAN: Semua kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) pembinaan projek jambatan dan jalan utama di Sarawak digesa agar menyelesaikan masalah dihadapi dengan segera.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, semua langkah perlu diambil sebagai usaha memastikan jadual pembinaan seluruh projek dipatuhi.
"Diharapkan lebih banyak langkah akan diambil oleh perunding pemantauan projek serta JKR khususnya melibatkan projek di peringkat awal pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian setelah diberi taklimat berhubung kemajuan pembinaan projek oleh pegawai JKR dan pegawai kontraktor di tapak pembinaan Projek Batang Lupar semalam.
Tambah Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), beberapa isu turut dimaklumkan pegawai JKR dan kontraktor kepada kementeriannya semalam.

Antara isu utama kelewatan projek yang dimaklumkan adalah kekurangan pekerja serta kelewatan mendapatkan peralatan khusus dari tempat lain, katanya.
Disebabkan itu, beliau berharap agar JKR menangani dan memantau dengan teliti projek-projek tersebut sekiranya mengalami sebarang masalah.

Sebelum ini, Uggah telah mengadakan lawatan di tapak pembinaan Jambatan Batang Lupar di Triso bernilai RM848 juta, Jambatan Batang Saribas Satu bernilai RM385 juta, Jambatan Batang Saribas Dua bernilai RM375 juta dan Jambatan Batang Rajang bernilai RM321 juta.

Next Post Previous Post