Jangan sik makei jaket keselamatan, Uggah

Orang ramai diingatkan sentiasa memakai jaket keselamatan ketika menaiki feri



SAMARAHAN: Semua pengguna feri termasuk pemandu kenderaan diingatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan demi keselamatan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, segala peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Orang ramai kecuali kenderaan kecemasan dengan siren atau lampu kecemasan dihidupkan, seperti ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis dan Jabatan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut tidak dibenarkan memotong barisan.

"Justeru itu, saya berharap agar semua pengguna akan memberikan kerjasama selain pengusaha feri memainkan peranan dalam memastikan semua SOP dipatuhi dengan teliti," katanya setelah melawat terminal feri Triso dan Saribas di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Richard Tajan berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan perkhidmatan syarikat keselamatan bagi membantu perlaksanaan SOP di semua 12 terminal feri di Sarawak.

Usaha mendapatkan perkhidmatan berkenaan katanya, bertujuan membantu JKR memantau SOP selain meminimumkan masalah yang berlaku di 12 terminal nanti.  

Selain itu Richard berkata, JKR turut mencadangkan supaya kawasan zon larangan atau zon operasi feri diwujudkan susulan kecendurangan nelayan tempatan melakukan aktiviti menangkap ikan berhampiran kawasan operasi.

"Ini kerana keadaan yang sangat baik iaitu air sungai bertemu dengan air laut yang telah menarik ikan manakala pada Julai 2018 terdapat satu kejadian di mana pukat mereka telah terjerat dalam kipas feri," katanya.

Dalam pada itu katanya, penggunaan jaket keselamatan penting untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini manakala pengguna juga boleh memilih untuk membawa jaket mereka sendiri atau mereka boleh membeli jaket berharga RM35 di feri.

Malah katanya, JKR turut menghadapi masalah kehilangan jaket mislanya seorang pengusaha feri memaklumkan kepada kami bahawa dia menganggarkan kehilangan kira-kira 200 jaket setiap bulan.


Next Post Previous Post