IPD Kuching berjaya tumpaskan sindiket pusat pengoperasian judi dalam talian

KUCHING-- Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching berjaya menumpaskan sindiket pusat pengoperasian judi dalam talian (calling centre) dengan memberkas seorang lelaki tempatan dan 40 warga asing di sebuah kediaman di Jalan Kepayang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 31 tahun itu ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching.

“Pihak polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam pengoperasian tersebut termasuk 19 unit komputer, 17 unit komputer riba dan 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelas Mohd Farhan, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih dariRM50,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.

“Selain itu hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas,” tambahnya lagi.

Tegasnya, kesemua suspek warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. 

Menurutnya lagi permohon reman ke atas lelaki tempatan telah diperolehi selama tiga hari iaitu sehingga 13 Januari 2025. 

“Manakala bagi 40 orang warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah ditahan reman di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 selama (14) hari iaitu sehingga 22 Januari 2025. 

“Kes masih dalam siasatan. pihak polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam kerana telah menyalurkan maklumat sehingga sindiket pengoperasian judi dalam talian ini berjaya dibanteras,” ujarnya.

Pada masa sama beliau menegaskan PDRM sentiasa komited untuk memastikan tindakan pembanterasan terhadap pusat pengoperasian judi dalam talian dilakukan secara berterusan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kes ini boleh menghubungi pusat kawalan Kuching di talian 082-244 444 atau berhubung dengan ASP Christ Olsen Ramlee di talian 013-8607572. 

“Kerjasama masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kegiatan pusat pengoperasian judi sebegini adalah amat dihargai,” katanya.
Next Post Previous Post