Hilux dihanyut arus deras di Kampung Sungai Simpangan, pemandu selamat
KOTA MARUDU-- Seorang lelaki menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya dihanyutkan oleh arus deras ketika cuba menyeberang jalan konkrit di sungai di Kampung Sungai Simpangan, di sini petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.20 petang.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelemat (BBP) Kota Marudu dikerahkan ke lokasi.
“Tiba di lokasi mendapati terdapat sebuah kereta jenis Toyota Hilux Vigo telah hanyut oleh arus deras semasa cuba untuk menyeberangi jalan konkrit di sungai.
“Mangsa dalam keadaan selamat berada di atas bumbung kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, pasukan bomba lengkap berpakaian PPE bertindak menyeberang sungai untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali dan seterusnya di bawa ke tempat selamat.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi operasi ditamatkan,” jelasnya.