Mana superhighway RM370 juta ke Pelabuhan Kuching?

KUCHING-- Violet Yong (DAP-Pending) melahirkan rasa hairan berkaitan projek mendalamkan Sungai Sarawak kepada 9 meter sepanjang 23.4 kilometer bagi mempertingkat akses ke Pelabuhan Kuching yang telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 2017.

Beliau berkata, meskipun projek yang dibiayai kerajaan persekutuan bernilai RM370 juta itu telah siap pada 2020, kedalaman Sungai Sarawak untuk laluan kapal masih lagi 7.5 meter berbanding 9 meter yang seperti yang didakwa.

Jelasnya, projek itu bagi membantu komuniti perkapalan menjimatkan kos dan masa serta keselamatan pelayaran yang lebih baik.

"Namun, apa yang saya difahamkan, sehingga kini, draf maksimum penyaluran kapal dari stesen perintis di Tg Po ke terminal Senari dan Pending masih 7.5 meter dan bukan 9 meter seperti yang didakwa. 

"Ini disahkan dalam laman sesawang rasmi Lembaga Pelabuhan Kuching di mana ia jelas menyatakan draf sekatan fizikal ialah 7.5 meter," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Pada masa sama Violet mempersoalkan sama ada projek itu gagal memenuhi tujuan pelaksanaannya atau sebaliknya.

"Di manakah terletaknya laluan sedalam 9 meter atau 'super highway' untuk kapal seperti yang dijanjikan oleh KPA? 

"Untuk kapal berlabuh dari Stesen Perintis di Tajong Po ke pelabuhan Senari atau pelabuhan Pending masih perlu menunggu air pasang besar, yang mana ini boleh dirujuk kepada jadual air pasang harian untuk maklumat pasang surut bagi semua kapal. 

"Saya diberitahu dari Tanjong Po, kapal itu mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke Pelabuhan Senari manakala ke pelabuhan Pending kira-kira dua jam ketika air pasang," katanya lagi.

Selain itu, beliau memberitahu, sejak 2016, Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) telah mula mengutip yuran penyelenggaraan saluran sebanyak RM1 setan untuk kargo am, kapal kargo pukal dan Roro dan RM36.25 setiap kontena 20' (1 teu) dan RM72.50 untuk kontena 40' (2 teus) . 

Tegasnya, KPA mendakwa bahawa bayaran perlu untuk penyelenggaraan pengorekan Sungai Sarawak untuk meningkatkan draf (kedalaman air yang diperlukan untuk mengapungkan kapal) sungai jika tidak, kelodak secara beransur-ansur akan mengurangkan draf sungai yang akan menghalang pelayaran.

Susulan itu, katanya, komuniti perkapalan mempersoalkan tujuan meneruskan kutipan bayaran penyelenggaraan saluran ini sedangkan KPA tidak dapat memastikan mereka menikmati perkhidmatan 'super highway' di sungai Sarawak.

"Ini adalah layanan yang tidak adil dan tidak jujur terhadap penerima konsain kerana mereka tidak membayar apa-apa. 

"Wang yang dibayar kepada KPA bukanlah minima tetapi berjuta-juta ringgit setiap tahun. 

"Dengan membawa isu ini di Dewan Mulia ini, saya menggesa menteri berkenaan untuk memberi jawapan berhubung isu ini," ujarnya.
Next Post Previous Post