OPS SAPU di ladang sawit dan kem pembalakan di Bintulu; 53 ditahan

KUCHING -- "OPS SAPU" telah dilancarkan oleh Unit Penguatkuasa Imigresen (UPI) Bintulu ke atas 2 lokasi berbeza yang terletak di Sebauh dan Tatau, Bintulu awal pagi semalam.

Bertindak atas maklumat aduan dan risikan, lokasi pertama iaitu sebuah kawasan ladang kelapa sawit yang terletak di Sebauh telah menemukan seramai 10 individu warga asing yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan berkaitan hal keimigresenan.

Lokasi kedua serbuan terletak di sebuah rumah kongsi kem pembalakan yang terletak di Tatau. UPI Bintulu telah menahan seramai 43 individu di lokasi kedua kerana tinggal melebihi masa dan tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Operasi yang bermula pada pukul 12.30 pagi (7 Mei 2024) secara keseluruhan telah memeriksa seramai 66 individu; daripada jumlah tersebut, seramai 53 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

Kesemua tahanan tersebut merupakan individu-individu warga asing yang terdiri daripada 40 lelaki,12 wanita dan 1 kanak-kanak. Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak dengan ini menasihatkan majikan dan pekerja warga asing untuk memohon pas lawatan kerja yang sah dan bersesuaian selaras dengan peruntukan undang-undang Malaysia.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah disarankan untuk menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia atau melalui saluran aduan online sedia ada.
Next Post Previous Post