MA63: Rundingan hal pelancongan masih diteruskan

KUCHING-- Sarawak akan terus melakukan rundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung cadangan meminda Perkara 25A Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkara berkaitan pelancongan seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rundingan antara kerajaan Sarawak dan persekutuan bagi mengeluarkan terma "pelancongan" daripada Senarai Persekutuan ke Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan, masih diteruskan.

"Rundingan itu berhubung cadangan meminda Perkara 25A Perlembagaan Persekutuan masih berterusan.

"Kementerian saya akan terus giat meneruskan cadangan untuk meminda Perkara 25A Perlembagaan Persekutuan. 

"Kami akan bekerjasama dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Peguam Besar Sarawak untuk memastikan bahawa Sarawak mendapat hak dan kedudukan istimewa berkenaan hal pelancongan sebagai dipersetujui di bawah MA63," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak giat mengusulkan hal berkenaan kepada kerajaan pusat bagi mengeluarkan "pelancongan" daripada Perkara 25A (Pelancongan) dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) kepada Senarai III (Senarai Bersama) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Sebastian Ting Chiew Yew pada 9 Mei lalu dipetik berkata pada asalnya, terma "pelancongan" tiada dalam mana-mana senarai perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun pada 1994, katanya, perkataan itu dimasukkan ke Senarai Persekutuan jadual berkenaan oleh Akta A885 dan mula berkuat kuasa pada 26 Jun 1994.
Next Post Previous Post