Rakyat China paling ramai jadikan Sarawak rumah kedua

KUCHING-- China merekodkan jumlah tertinggi antara 10 negara yang menjadikan Sarawak sebagai destinasi rumah kedua di bawah Program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, S-MM2H merupakan program yang membenarkan pelawat asing yang bernilai tinggi yang memenuhi kriteria tertentu untuk tinggal di Sarawak dengan visa pelbagai kemasukan.

"Kementerian saya terus meningkatkan keperluan dan peraturan melalui kelulusan Kabinet untuk melindungi kepentingan Sarawak dalam masa sama menarik pelancong yang bernilai tinggi. 

"Sehingga kini, 2,462 peserta telah diluluskan sejak 2007. 

"10 negara teratas termasuk China (340), United Kingdom (335), Taiwan (246), Hong Kong (240), Amerika Syarikat Amerika (184), Singapura (182), Korea Selatan (157), Australia (114), Jepun (114) dan Indonesia (113)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat pengulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, jumlah peserta S-MM2H meningkat 22.90 peratus daripada 441 pada 2022 kepada 542 pada 2023. 

Tambahnya, pada 2023, Simpanan Tetap (FD) daripada peserta S-MM2H ialah RM56.7 juta di bank tempatan Sarawak.

"Sehingga Mac 2024, 146 peserta telah diluluskan dengan FD RM28.8 juta di bank tempatan Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post