Kesatuan Eropah berhasrat tubuh bank EU di Sarawak, biaya pelaburan hijau

Abang Johari ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Ketua-Ketua Perwakilan Negara Kesatuan Eropah di Malaysia diketuai TYT Michalis Rokas.

KUCHING-- Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) akan mempertimbangkan untuk menubuhkan bank EU di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bank itu bagi mendukung usaha Sarawak ke arah melestarikan tenaga hijau di negeri ini.

"Negara-negara EU telah menyatakan mereka akan mempertimbang untuk menubuhkan bank EU di Sarawak bagi menyediakan sumber pembiayaan pelaburan hijau di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sesi taklimat cadangan oleh Samsung E & A Corporation di Seoul, Korea Selatan, pada Rabu.

Beliau ditemani Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, negara-negara EU juga menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Sarawak dalam ruang tenaga diperbaharui semasa lawatan duta-duta EU ke Kuching, baru-baru ini.

Pada masa sama Abang Johari mengulangi bahawa Sarawak akan membangunkan penjanaan kuasanya kepada 10GW menjelang 2030 untuk memenuhi permintaan yang dipercepatkan terutama bagi tenaga diperbaharui.

Tegas beliau, terdapat permintaan besar terhadap kuasa hijau di Sarawak misalnya oleh keperluan kuasa sehingga 1.3GW untuk projek Hab Tenaga Baharu Sarawak (SNEH) di Bintulu.

Berikutan itu, beliau berkata, dianggarkan AS$460 bilion dalam bentuk pelaburan dijangka disuntik ke dalam ekonomi Sarawak sehingga 2050 bagi merealisasikan cadangan projek SNEH itu.

Jelasnya, jumlah itu merangkumi perbelanjaan kerajaan dan pelaburan sektor swasta serta penyertaan ekuiti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat cadangan oleh Samsung E & A Corporation di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Abang Johari dan delegasi dari Sarawak dalam sesi lawatan kerja dua hari ke negara itu.

Mengulas lanjut tentang SNEH, katanya ia dipacu terutamanya oleh kuasa hidro daripada empangannya akan menghasilkan sumber tenaga diperbaharui terutama hidrogen dan ammonia yang akan dieksport ke negara lain di rantau ini, khususnya Korea.



Sementara itu, dalam taklimat tersebut turut menyentuh mengenai kajian semula projek hidrogen H2biscus melibatkan pihak berkepentingan seperti Samsung E & A, LOTTE Chemical Corporation dan Korean National Oil Corporation (KNOC) dan Sarawak diwakili SEDCEnergy, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Beliau memberitahu, selepas tiga setengah tahun sejak memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dengan pihak-pihak berkenaan, projek di Bintulu itu akan menjadi sebahagian daripada projek SNEH berjalan dengan baik namun beberapa isu perlu diselesaikan oleh para pelabur serta Kerajaan Sarawak.

Terdahulu, Kerajaan Sarawak menerusi SEDCEnergy yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Robert Hardin menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) untuk projek H2biscus.

Samsung Engineering akan melaksanakan FEED (Front End Engineering Design) untuk loji hidrogen hijau dengan kapasiti tahunan 150,000 tan dan loji penukaran ammonia hijau dengan kapasiti 850,000 tan.

Terdahulu, Naib Residen Eksekutif Samsung E&A Park Cheon Hong memberi taklimat kepada Premier dan hadirin lain mengenai cadangan projek SNEH.

Pada Februari lalu, delegasi Ketua-Ketua Perwakilan Negara EU di Malaysia yang diketuai oleh TYT Michalis Rokas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kuching.

Ketika ditemui media, Michalis menyatakan pertemuan dengan Abang Johari adalah bagi mengeratkan hubungan diplomatik serta meningkatkan perkongsian dua hala bagi jalinan kerjasama antara EU, Malaysia dan Sarawak.

Ia termasuk dalam bidang pendidikan, pelaburan dan pertumbuhan dalam ekonomi hijau serta perdigitalan permodenanan infratruktur yang mampan ke arah mencapai matlamat bersama.
Next Post Previous Post