56 murid asrama SK Siang-Siang di Lawas terperangkap dalam banjir kilat diselamatkan

LAWAS -- 56 orang murid yang merupakan penghuni asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Siang-Siang di sini berhadapan dengan detik cemas selepas terperangkap dalam banjir kilat yang melanda sekolah berkenaan awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, sepasukan anggota dari BBP Lawas bergerak ke lokasi sejurus menerima makluman berhubung insiden pada jam 7.45 pagi bagi menjalankan khidmat khas mengeluarkan serta memindahkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam bangunan asrama.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati bahawa asrama berkenaan sudah dimasuki air yang mana terdapat murid berada dalam asrama dan perlu dipindahkan," ujarnya.

Turut difahamkan bahawa paras air banjir yang berlaku di perkampungan berkenaan mencecah paras sehingga 4 kaki setakat ini.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak memindahkan kesemua mangsa dengan menggunakan sebuah bot ke lokasi yang selamat. 

"Setelah itu pihak sekolah menyerahkan pelajar kepada ibu bapa masing - masing untuk dibawa balik ke rumah," jelas beliau.

Mujurlah kesemua murid dapat diselamatkan sekaligus menggelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Setakat ini, trend air banjir yang melanda kawasan terbabit dilihat semakin surut.
Next Post Previous Post