Tiket belon mahal, guru 10 tahun raya sakan di Sarawak

KUCHING— Sebuah keluarga dari Perlis menyifatkan pengalaman beraya sakan sampai jam 2 pagi selama 30 hari, menikmati kek lapis Sarawak dan hati pari,’ feeling’ yang sangat menarik tidak terdapat di Semenanjung Malaysia.

“Raya sakan kat sini. Satu hari kami boleh beraya antara lapan hingga sembilan rumah. Jam 12 tengah malam pun masih dijemput datang beraya, tidak hairanlah kami balik rumah jam 1 atau 2 pagi,” 

“Kalau hari sekolah pun, malam kami sambung lagi beraya pada sebelah malam tau..,” kata Aizat Zahra yang berkongsi pengalaman menarik itu di Facebook.

Ketika anak perantauan yang lain berebut-rebut untuk pulang ke kampung halaman, Aizat sekeluarga memilih untuk beraya bersama rakan-rakan dan kenalan di sini.

Menurut Aizat, mereka sekeluarga sudah 10 kali menyambut Aidilfitri di sini sejak mula datang ke Sarawak pada 2011, sehinggakan ada yang menyangkakan mereka asal orang Sarawak.

Berkongsi pengalaman itu kepada Borneo Network, Aizat berkata beliau datang ke Sarawak untuk bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Nanga Klassen namun kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Padawan.

“Soalan yang biasa kami terima, best ka raya Sarawak? Jawapan kami mestila best, feeling rasa ni, kalau di Semenanjung takkan sama,” katanya.

Dalam hantaran itu, Aizat turut berkongsi apa yang membezakan sambutan Aidilfitri di Sarawak dengan Semenanjung, antaranya penduduk di sini meraikan perayaan itu selama 30 hari.

“Bukan itu sahaja, dari raya pertama lagi orang Sarawak akan berbaju Melayu lengkap samping dan songkok manakala perempuan lengkap berbaju kurung.

“Senang kata, takda yang pakai T-shirt. Kami sendiri pun segan nak pakai sebab tuan rumah sambut dengan pakaian raya. Kalau ada yang pakai T-shirt, mesti dia orang Semenanjung.

“Dulu mula-mula datang Sarawak, baju Melayu cuma dua pasang, namun sejak beraya di Sarawak koleksi pun makin bertambah. Siang lain, malam lain, terpaksalah siang malam isteri sibuk seterika baju untuk kami beraya,” katanya yang mempunyai tiga orang anak perempuan yang digelar ‘Power Puff Girls’.

Menurut Aizat, mereka sekeluarga bertuah kerana saban tahun dapat menikmati pelbagai juadah yang sedap antaranya kek lapis premium.

“Macam-macam jenis kek lapis, best oh. Kalau nak beli, banyak juga keluar duit tu.

“Tak ketinggalan kek legend yang kami tiap-tiap tahun dapat iaitu kek hati pari. Sedapnya tak tahu nak cakap apa, sudahlah tahan berbulan-bulan, makin lama makin sedap.

“Tetapi selalunya bila dapat, kek tu sekejap saja bertahan sebab anak-anak kami sangat suka. Sekejap-sekejap buka peti ais tak sempat merasa kek itu disimpan lama,” katanya.

Aizat menambah, orang Sarawak juga cukup terkenal dengan sikap pemurah dengan menghantar juadah raya ke rumah.

“10 kali raya di Sarawak ni, kami tak pernah masak juadah raya kat rumah, tak berasap dapur sampai raya ketujuh dan seterusnya.

“Setiap tahun tahun raya pertama hingga ketiga mereka hantar juadah raya ke rumah. Belum lagi ‘tapau’ yang diberikan tuan rumah semasa kami datang beraya, Alhamdulilah…”katanya.

Menurut Aizat, tahun ini Aidilfitri disambut agak berbeza kerana mereka sudah berpindah ke Kuching namun pulang beraya di Sri Aman.

“Powerpuffgirls tak pernah merasa apa itu erti pulang ke kampung di musim perayaan.

“Tetapi tahun ni happy dia lain macam bila kami dalam perjalanan ke Sri Aman untuk beraya. Rasa macam pulang kampung sendiri,” katanya.

Di Sri Aman, mereka sekeluarga beraya di Lingga selain di Sarikei, Kampung Bungin, Engkilili, Serian, Kuching dan Mukah.

Aizat turut berkongsi juadah kegemaran Powerpuffgirls iaitu Laksa Sarawak.

“Laksa Sarawak ni paling digemari anak perempuan sulung saya, memang anak Sarawak habis. Kalau raya 10 rumah ada Laksa Sarawak, 10 mangkuk lah dia makan. Tak jemu-jemu.

“Ada kelupis. burasak, kalau kek lapis nama macam-macam, Fatzura pun terlibat sama tetapi kegemaran kami mestila kek ati parek (hati pari) dan idola. Kek lejen juak yg nyaman. Kalau nak cerita bab makan ni, esok pun tak habis,” katanya.

Sementara itu Aizat berkata, mereka sekeluarga hanya pulang kampung di Perlis setahun sekali pada hujung tahun.

“Bukan tak ingat keluarga atau tiada keluarga, tetapi tiket penerbangan sangat mahal untuk kami sekeluarga. 

“Belum lagi belanja tol, makan dan perbelanjaan lain. Terpaksa pinjam kereta adik di Selangor untuk pulang ke Perlis, lepas tu kena hadap kesesakan lalu lintas berbelas jam.

“Cuti singkat, kesudahan cuti habis di atas jalan raya. Belum lagi nak berziarah saudara-mara dari Selangor ke Perlis,’ katanya.

Aizat menambah, sebagai anak perantau sangat merugikan sekiranya beliau tidak menyelami adat dan budaya di bumi Kenyalang.
Next Post Previous Post