Tentera Darat Gagalkan Cubaan Seludup Lobak Merah Ke Indonesia
KUCHING-- Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup lobak merah ke negara jiran Indonesia di sektor Op Awas/Keris Parang di Bau di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, sepasukan anggota TDM yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Ladang Kelapa Sawit Empaling Kampung Stass, Bau, iaitu jarak lebih kurang 400 meter dari sempadan Indonesia telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux jam 2.50 pagi.
"Toyota Hilux itu membawa muatan yang bertutup cuba memasuki negara Indonesia dengan menggunakan jalan tidak sah.
"Hasil daripada pemeriksaan mendapati dua orang lelaki warga tempatan yang
berusia 22 dan 24 tahun telah membawa muatan sebanyak 53 kotak yang berisi lobak
merah yang dianggarkan berjumlah RM 3,180 untuk diseludup ke Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,
kesemua hasil rampasan termasuk sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan
berjumlah RM 101,180.
"Kesemua barang rampasan beserta dua orang warga tempatan yang ditahan diserahkan kepada pihak Polis di Balai Polis Bau, Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
"Tentera Darat akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan
Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan," ujarnya.