Ramai pekebun lada beralih tanam kelapa sawit

SERIAN— Pengeluaran lada Sarawak mencatatkan penurunan sejak beberapa tahun lalu kerana ramai pekebun kini beralih kepada penanaman kelapa sawit.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, tanaman kelapa sawit menjana pendapatan berterusan kerana ia dituai secara bulanan.

“Tanaman lada dituai setahun sekali kalau kita bandingkan dengan kelapa sawit yang boleh mengeluarkan buah setiap bulan selepas tempoh empat hingga lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) di sini pada Khamis, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Sehubungan itu katanya, pertubuhan peladang Sarawak digesa memainkan peranan untuk meningkatkan penglibatan dan pengeluaran lada Sarawak supaya terus kekal menjadi pengeluar utama di Malaysia.

Martin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup mencadangkan MPB membuat satu kajian utuk membantu pekebun lada meningkatkan pengeluaran seterusnya dapat bersaing dengan komoditi lain.

“Penyelidikan ini termasuk kaedah baharu yang boleh menggantikan penggunaan tiang belian, kebun lada organik dan penanaman berdekatan rumah.

“Inisiatif ini sudah tentu dapat meningkatkan pengeluaran di samping menarik ramai generasi muda untuk berkecimpung dalam penanaman lada,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pendedahan kepada tanaman lada dimulakan di peringkat sekolah menengah untuk menarik generasi muda berkecimpung dalam industri ini. 

“Saya akan membantu dan bertanya kepada guru-guru di sekolah sekitar Serian yang berminat dalam sektor pertanian dan bagaimana kita boleh memulakan program ini (penanaman lada) di peringkat sekolah menengah.  

“Saya percaya ia satu pendekatan kepada bagaimana kita boleh menarik minat generasi muda dalam bidang pertanian,” katanya.

Katanya, penglibatan generasi muda dalam komoditi tanaman lada mustahak memandangkan purata umur pengusaha tanaman ini kebanyakannya melebihi 50 tahun dan tidak mampu lagi menguruskan kawasan tanaman sekiranya tanah mempunyai 200 hingga 300 batang pohon lada. 

Pada majlis itu, MPB telah menyampaikan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada lima buah kampung iaitu Kampung Bunan Gega, Kampung Bunan Punok, Kampung Mongkos, Kampung Sangai Empani dan Kampung Sangai Mawang dengan jumlah RM349,600. 

Selain itu, Skim Tanaman Lada Matang (STLM) turut diberikan kepada tiga buah kampung iaitu Kampung Tong Nibong, Kampung Bunan Gega dan Kampung Bunan Punok dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM125,000. 

Untuk rekod, setakat Januari 2023, terdapat seramai 38,134 pekebun kecil lada di Malaysia dengan keluasan tanaman 8,013 hektar. 

Daripada jumlah tersebut Sarawak menguasai 98 peratus iaitu 7,866 hektar kawasan tanaman lada dengan jumlah pekebun kecilnya seramai 37,461 orang.

Malaysia adalah pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan India.
Next Post Previous Post