Aktiviti penyelewengan 400 minyak masak paket, 400 liter diesel tumpas

KUCHING-- Sebanyak 400 minyak masak paket bersubsidi dan 400 liter minyak diesel yang cuba diseleweng berjaya ditumpaskan di Kuching.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berkata, kejayaan itu menerusi tangkapan dan rampasan yang dibuat Pasukan Gerakan Am Batu Kawa dan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 pada 17 April 2024 dan 18 April 2024. 

"KPDN Sarawak telah menerima dua kes serahan berasingan daripada Pasukan Gerakan Am Batu Kawa dan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 pada 17 April 2024 dan 18 April 2024. 

"Tangkapan yang pertama adalah melibatkan sebuah lori membawa muatan penuh berisi minyak masak paket bersubsidi sebanyak 400 kotak. 

"Manakala tangkapan kedua pula melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa anggaran 400 liter minyak diesel di dalam sebuah tangki besi yang telah diubah suai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran Pengawal Bekalan.

Justeru, KPDN Sarawak meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan barangan bersubsidi boleh diadukan melalui e-aduan.kpdn.gov.my atau telefon KPDN Sarawak di talian 082-537703 (Bilik Gerakan) , Whatsapp 019-2794317 @ 019-8488000 (Aduan Pengguna) dan Talian Hotline : 1-800-886-800
Next Post Previous Post