Anak Bintulu, Dr Voon letak Sarawak dalam peta sebagai pusat kajian kanser

KUCHING-- Anak Bintulu, Prof Dr Voon Pei Jye yang merupakan pakar onkologi perubatan, Ketua Perkhidmatan Radiasi dan Onkologi, Hospital Umum Sarawak (HUS) mengetuai 39 ujian klinikal antarabangsa di HUS.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ujian itu disokong oleh pasukan luar biasa dan 27 pembantu penyelidik klinikal dari Pusat Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM).

"CRM adalah 100 peratus di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang bermula pada 2012 dengan tujuan untuk mempromosikan dan memudahkan penyelidikan klinikal di Malaysia terutamanya Pusat Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Lebih 10 tahun, CRM telah membantu untuk membawa masuk lebih daripada RM1 bilion penyelidikan klinikal di Malaysia.
 
"Di luar Ibu Pejabat di KL, satu-satunya pejabat yang CRM ada adalah di Kuching yang telah ditubuhkan baru-baru ini kerana pertambahan kakitangan dan beban kerja yang ketara.  

"Terima kasih CRM kerana bukan sahaja menyediakan pekerjaan kepada 27 graduan Sarawak tetapi peluang dalam 'pelaburan' khusus tetapi bernilai tinggi dalam pembinaan Sarawak," katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Tambah Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ramai 'terkejut' apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi dengannya aspirasi Sarawak mengenai penyelidikan perubatan dan bioperubatan.

Jelasnya ini kerana mereka tidak tahu bahawa Sarawak telah menjalankan dan membina pusat penyelidikan klinikal selangkah demi selangkah sejak 2003 dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) HUS.
 
"Sangat berbangga dan berterima kasih kepada semua doktor pakar, penyelidik, CRA dan ahli pasukan untuk perjalanan yang luar biasa dalam mengharungi segala cabaran untuk diiktiraf bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi di rantau ini dan di peringkat global sebagai pusat terkemuka dalam semua fasa ujian klinikal termasuk ujian pertama klinikal ke atas manusia," katanya.

Menurutnya lagi CRC HUS bukan sahaja perkhidmatan klinikal yang cemerlang kepada pesakit kanser tetapi meletakkan HUS dalam peta serantau sebagai tapak pusat penyelidikan klinikal terkemuka untuk ubat kanser.

Dalam pada itu, Dr Sim memberitahu Dr Voon yang merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama Dr Winnie juga diberi peluang dalam mendalami bidang onkologi perubatan di Singapura selepas dipersetujui Menteri Kesihatan Malaysia.
Next Post Previous Post