Lelaki Maut, Putus Tangan Kiri, Letupan Di Pusat Kitar Semula

SIBU--Seorang lelaki maut dalam letupan di pusat kitar semula besi buruk di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa warga tempatan berusia 37 tahun mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan putus tangan kiri.

Menurutnya, anggota polis bertugas di kaunter aduan Balai Polis Sibu Jaya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengatakan telah berlaku
letupan tong minyak di pusat kitar semula itu jam 1.30 tengah hari.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Polis Sentral Sibu dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu telah bergegas ke lokasi kejadian.

"Sampai di lokasi kejadian, pihak
polis telah menemui seorang mangsa lelaki terbaring di atas tanah dan telah meninggal dunia. 

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati dia mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan putus tangan kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata, saksi awam ditemui di tempat kejadian mengatakan sebelum kejadian dia nampak mangsa memegang sebatang besi dan menuju ke arah pusat itu.

"Punca kejadian dipercayai mangsa telah memotong batang besi dibawanya di atas sebuah tong minyak jenama Repsol dengan menggunakan pemotong oksigen. 

"Akibat kepanasan tong minyak hidraulik itu telah mengembang dan meletup," katanya.

Katanya, kejadian itu tidak mengakibatkan kerosakan atau kecederaan yang lain.

"Tiada sebarang unsur jenayah dikesan, mayat mangsa dibawa ke Rumah Mayat Hospital Sibu. 

"Bedah siasat akan dijalankan pada esok hari (19 April) bagi mengetahui punca kematian," katanya.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut(SDR).

Pihak polis menyeru kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian yang berlaku.
Next Post Previous Post