Sarawak jangka tidak bergantung beras import menjelang 2027

KUCHING-- Sarawak menyasarkan untuk tidak lagi bergantung kepada beras import menjelang 2027.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini selari dengan matlamat Sarawak untuk mencapai pengeluaran kadar sara diri beras menjelang 2027.

Tambahnya, sasaran itu selaras dengan projek penanaman padi menggunakan benih hibrid yang telah dijalankan di beberapa kawasan di Sarawak sekali gus membolehkan Sarawak mampu mengeksport beras ke tempat lain.

"Di Gedong, kita menggunakan cara baharu dalam penanaman padi yang mana pesawah mampu menghasilkan lapan tan semusim.

“Menerusi cara baharu ini, dalam 24 bulan ada lima musim dan dalam tempoh berkenaan pesawah mampu menghasilkan 40 tan padi. 

"Jika kita kira-kira pada 2026 atau 2027, kita mencapai kadar sara diri beras dan tidak perlu mengimport lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidifitri Daerah Sebuyau, di Dewan Pembangunan Sebuyau, di sini, hari ini.

Majlis itu diserukan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Untuk maklumat, padi hibrid itu dibangunkan oleh pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan menggunakan varieti benih padi dari Vietnam dan berupaya mengeluarkan hasil sehingga tiga kali ganda berbanding penanaman padi biasa.

Dua varieti padi hibrid itu, dihasilkan UPM dengan kerjasama sebuah syarikat swasta Global Farm Biotech Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak dijangka mampu mencapai SSR kerana projek penanaman padi berkenaan bukan sahaja dilaksanakan di Lubok Punggor, Gedong tetapi juga di kawasan lain yang telah dikenal pasti.

"Antaranya di Simunjan, Lundu, Banting serta Lingga yang mampu mengeluarkan beras sekali ganda lebih banyak daripada jumlah yang diimport ketika ini.

“Jadi, kita mungkin menjadi pengeksport beras kepada orang lain di luar,” tambahnya.

Gambar Kredit Jabatan Penerangan 
Next Post Previous Post