Kena kelentong bomoh China

KUCHING-- Seorang pesara kerajaan di Padawan rugi RM122,000 selepas dikelentong bomoh dipercayai warganegara China.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu hari ini yang dibuat oleh seorang wanita berusia awal 60-an.
Katanya, menurut mangsa, dia telah didatangi tiga perempuan dipercayai warganegara China semasa berada di pasar tani Pekan Batu 10, Kota Padawan sekitar jam 6 pagi tadi.

"Modus operandi adalah suspek meminta bantuan mangsa untuk mencari seorang lelaki tua bernama 'Akek' yang dipercayai pengamal perubatan tradisional. 

"Ketiga-tiga suspek kemudian memperlawa mangsa untuk pergi bersama-sama mendapatkan rawatan dari pengamal perubatan tradisional kerana mangsa dikatakan bernasib malang. 

"Kemudian mangsa telah diarahkan untuk masuk ke dalam sebuah kenderaan dinaiki suspek, sebelum suspek mengambil seutas rantai leher emas dan seutas rantai tangan emas ditubuh badan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa juga diarahkan suspek mengambil barangan berharga miliknya yang disimpan di rumah untuk diserahkan kepada mereka bagi tujuan perubatan. 

"Selepas itu, mangsa telah balik ke rumah dan mengambil wang tunai RM1,200, mata wang yen 50,000 dan pelbagai perhiasan barangan kemas lalu menyerahkan kepada ketiga-tiga suspek," jelasnya.

Menurut Lim lagi, suspek kemudian memberikan satu beg berwarna merah berisi barangan kepada mangsa dan memberitahu syarat bahawa beg tersebut tidak boleh dibuka dalam tempoh sembulab hari. 

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila membuka beg tersebut dan mendapati hanya mengandungi dua botol air mineral serta sebungkus garam sahaja. 

"Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya. 

"Nilai kerugian yang dialami mangsa dianggarkan berjumlah lebih kurang RM122,000," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan individu tidak dikenali yang berbicara tentang bomoh atau pengamal perubatan tradisional atau mendakwa anda mengalami nasib malang. 

"Beritahu ahli keluarga atau orang yang berada berhampiran dengan anda jika anda berasa was-was atau ragu- ragu dengan individu tidak dikenali yang menyapa anda. 

"Jangan mengikuti individu tidak dikenali menaiki kenderaan mereka dan jangan sesekali menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai atau barangan berharga milik anda kepada individu tidak dikenali," tegasnya.
Next Post Previous Post