'Sarawak - Asia’s Renewable Powerhouse' Letak Sarawak Di Persada Global -Abang Johari

KUCHING-- 'Sarawak - Asia’s Renewable Powerhouse' akan meletakkan Sarawak di persada serantau dan global sebagai hub sumber tenaga boleh diperbaharui dan juga sebagai hub inisiatif peralihan kepada penggunaan tenaga tanpa karbon dan pengurangan karbon.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah suatu jenama yang akan mengangkat Sarawak di pentas global ke arah kelestarian dari pelbagai sudut selaras dengan 17 matlamat Sustainable Development Goals (SDG) kelolaan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations. 

"Dunia kini bergerak ke arah “net-zero” menjelang 2050 seperti yang dipersetujui oleh dunia melalui Perjanjian Paris pada 2015," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2024.

 Katanya, Sarawak mempunyai potensi 20 GW daripada sumber hidro dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.4 GW pada saat ini yang telah membolehkan Sarawak menyediakan tenaga rendah karbon dengan tarif yang kompetitif kepada para pelabur.

"Matlamat Sarawak seterusnya ialah untuk mengeksport tenaga ke Brunei dan Sabah dan penyaluran 1 GW ke Singapura menjelang 2032 melalui kabel dasar laut sepanjang 700 km selain penyaluran 190 MW sedia ada ke Kalimantan Barat. 

"Pada masa kini Sarawak Energy (SEB)
sedang melaksanakan dasar bekalan tenaga hingga 10 GW atau 10,000 MW menjelang 2030 melalui penjanaan hidro dan turbin gas," ujarnya.

Beliau berkata, Sarawak akan terus membangunkan potensi sumber tenaga
hidronya dengan kaedah yang membawa kesan minimal kepada alam sekitar dan kehidupan manusia. 

"Saya telah memberi arahan kepada agensi berkaitan untuk mengkaji penjanaan kuasa dengan konsep sumber tenaga daripada empangan melata yang telah digunakan di negara-negara seperti Norway dan Canada. 

"Dengan persetujuan penduduk setempat projek tersebut akan bermula di Sungai Gat, Baleh, Kapit.Sumber-sumber tenaga rendah karbon lain yang turut dibangunkan atau diteroka untuk memenuhi keperluan serantau termasuk pengeluaran hidrogen hijau dan bahan bakar penerbangan yang dihasilkan daripada alga atau sustainable aviation fuel (SAF), solar terapung dan biojisim (biomass) dalam bentuk pellets daripada sumber hutan kita," jelasnya.


Katanya, Sarawak mempunyai sumber dan keupayaan untuk membantu menyelesaikan masalah negara-negara di rantau ini yang tidak mempunyai sumber tenaga hijau atau tidak mempunyai keupayaan untuk menyimpan karbon atau keupayaan untuk menyerap karbon dioksida. 

"Oleh itu, jolokan 'Sarawak bateri Asean' atau 'Sarawak hub tenaga hijau' bukanlah omongan kosong atau impian semata-mata. Sarawak bersedia memberi khidmat dan menyediakan sumber untuk membantu rantau ini mencapai matlamat “net-zero” menjelang 2050, sejajar dengan usaha sejagat untuk menghindarkan bumi daripada malapetaka," tambahnya.
Next Post Previous Post