Gadis 17 Tahun Antara Anggota Sindiket Aktif Curi Kenderaan

KOTA SAMARAHAN-- Remaja perempuan berusia 17 tahun antara lima anggota 
sindiket yang aktif mencuri kenderaan di negeri ini yang berjaya ditahan baru-baru ini. 

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Jaimi Husin berkata, suspek berusia antara 17 dan 41 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan, peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan turut dirampas. 

“Suspek terdiri daripada tiga lelaki berusia 26, 31, dan 41 dan dua wanita berumur 17 dan 29 tahun. 

“Didapati sindiket itu beroperasi sejak 2020 dengan menyasarkan pikap dan motosikal di kawasan komersial dan kediaman,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan hari ini.

Jaimi berkata, kenderaan yang dicuri itu dibawa ke negara jiran, melalui jalan tikus untuk dijual. 

"Usaha sedang dijalankan untuk mengesan tiga lagi suspek dan barang kes.Susulan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal dan kenderaan di daerah ini," ujarnya.

Jaimi berkata, siasatan awal turut mengaitkan suspek kes curi kenderaan di daerah lain seperti Kuching, Simunjan dan Bintulu, kesemua suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

“Seorang daripada suspek dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di Melaka atas kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Dua daripada suspek didapati positif dadah manakala tiga lagi negatif,” katanya. 

Katanya, kelima-lima suspek kini direman mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. 

Jaimi meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kota Samarahan atau balai polis berhampiran.
Next Post Previous Post