Penduduk Mujong Tengah dakwa sudah lima tahun menara telekomunikasi tiada kuali

KAPIT— Penduduk di Mujong Tengah menuntut penjelasan pihak kerajaan berkaitan status menara telekomunikasi di tanah mereka yang sehingga kini tidak berfungsi selepas lima tahun dibangunkan.

Dalam satu hantaran di Facebook Buletin Kapit, penduduk mendakwa sehingga hari ini mereka masih mengalami masalah capaian internet.

“Kami merayu wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undanga Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen memberikan jawapan, adakah menara itu diguna atau sekadar menjadi mercu tanda kawasan Mujong Tengah?

“Sudah lima tahun menara telekomunikasi tersebut terpacak, menyemak begitu sahaja sedangkan internetnya tiada.

“Sekiranya menara tersebut masih digunakan, kami merayu agar kerajaan dan pihak berkaitan mempercepat pemasangan bagi menyediakan internet kepada rakyat. Kasihan rakyat yang amat memerlukan,” katanya dalam hantaran itu.

Katanya, ketiadaan capaian internet ini menyebabkan penduduk di rumah panjang kawasan itu bergantung degan perkhidmatan jalur lebar satelit berkelajuan tinggi, Connectme. 

“Walaupun Connectme ini dipasang di setiap rumah panjang dan boleh melayari Facebook dan menggunakan aplikasi WhatsApp, namun kos data internet amat mahal iaitu kira-kira RM11 untuk 1GB,” tambahnya.

Menurut pengadu, kebanyakan penduduk yang tinggal di rumah panjang adalah warga emas dan kanak-kanak manakala generasi muda ramai bekerja di kawasan bandar.

“Walaupun mereka mempunyai anak-anak yang sudah bekerja, namun bagi mereka kos isi semula ini membebankan. 

“Namun mereka tiada pilihan kerana ini sahaja cara berhubung dengan ahli keluarga mereka di bandar,” katanya.

Dalam pada itu, netizen turut mencadangkan masalah itu dirujuk kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil untuk tindakan.

“Padah agi YB Menteri Fahmi nya, ari ari madah kaji kaji (beritahu dengan YB Menteri Fahmi, hari-hari umum kaji-kaji,” kata Gmi Langan.

Mac lalu, Fahmi dipetik berkata, kerajaan akan membelanjakan lebih RM206.78 juta untuk menyelesaikan isu 600 menara telekomunikasi tanpa ‘kuali’ di Sarawak.

Fahmi berkata pelaksanaan SMART600 atau naked tower di negeri Sarawak berdepan masalah yang berlarutan selama ini kerana tidak mempunyai alat pemancar atau radio.

Katanya, sebanyak 169 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) telah berfungsi, menyediakan perkhidmatan secara Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) 4G di negeri berkenaan setakat 22 Mac lepas.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 600 menara telekomunikasi yang dirancang untuk dibina di Sarawak menerusi beberapa peringkat peruntukan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat komunikasi.
Next Post Previous Post