Sarawak kaji mekanisma ambil alih projek terbengkalai di negeri ini-Abang Johari
KUCHING-- Sarawak kini sedang mengkaji mekanisma bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih projek-projek terbengkalai temasuk klinik dan sekolah daripada kerajaan persekutuan di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rundingan berkaitan isu pendidikan dan kesihatan masih belum dimuktamadka, namun beberapa perkara sudah diselesaikan.
"Belum selesai, ia dimuktamad (walaupun) kita selesaikan beberapa perkara (berkaitan pendidikan dan kesihatan)
"Kita sedang mengkaji mekanisma bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih projek-projek terbengkalai termasuk klinik dan sekolah.
"Selepas itu, mekanisma untuk kerajaan persekutuan membayar balik kerajaan negeri kerana kesihatan dan pendidikan ini di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan.
"Tetapi apa yang kita buat adalah kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan persekutuan.
"Kita mendahulukan pembangunan tersebut dengan menggunakan dana negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambah Abang Johari, oleh sebab kesihatan dan pendidikan di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, maka kerajaan Sarawak mengkaji mekanisma yang sesuai untuk membolehkan kerajaan persekutuan membayar balik kepada negeri Sarawak.
"Ini mempercepatkan perkara-perkara mustahak termasuklah rumah untuk kakitangan kesihatan dan pendidikan agar mereka mempunyai kediaman yang lebih selesa.
"Dari segi pentadbiran sudah kita persetujui antara saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan di peringkat pegawai kerajaan juga mereka juga bersetuju dengan cara-caranya," jelasnya lagi.
Tegas beliau, perkara yang penting adalah bagaimana mekanisma cara-cara kerajaan persekutuan membayar balik kerajaan negeri.
"Sekarang sudah ada satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan dan KSU Kementerian Kesihatan," ujarnya.
Mengenai majlis rumah terbuka, Abang Johari mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua masyarakat yang hadir pada majlis itu.
Pada majlis itu, lebih 10,800 pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Hari Kedua Premier Sarawak di BCCK di sini hari ini.
"Kunjungan daripada masyarakat berbilang kaum dan agama pada rumah terbuka ini menunjukkan semangat setia kawan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Sarawak.
"Ini seterusnya merapatkan tali silaturahim antara masyarakat di negeri ini," ujarnya.