Lelaki miliki 11 rekod jenayah dijumpai cedera di Kampung Sungai Pendam

KOTA SAMARAHAN-- Seorang buruh binaan yang mempunyai 11 rekod jenayah dijumpai dalam keadaan cedera di Lorong 2, Kampung Sungai Pendam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dijumpai oleh orang awam yang bertindak menghubungi polis sekitar jam 9 pagi semalam.
 
"Hasil siasatan, mangsa pada hari sebelumnya (9 April 2024) berada di rumah seorang rakannya untuk sesi minum minuman keras di rumah rakan di Kampung Sungai Pendam.

"Sesi minum berlarutan hingga malam hari dan pada malam tersebut waktu tidak diketahui tiba-tiba mangsa telah diserang oleh dua orang yang tidak dikenali dengan menggunakan kayu.

"Semasa kejadian rakan mangsa telah keluar dan tinggal mangsa seorang diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat kejadian itu mangsa mendapat kecederaan di kepala dan muka.

"Pada 10 April 2024 lebih kurang 7 pagi berdekatan Dewan Kampung Sungai Pendam, mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan berdarah di muka. 

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak Kuching untuk mendapatkan rawatan," jelasnya.

Bagaimanapun kata Jaimi, motif kejadian tidak diketahui dan polis giat mengesan rakan mangsa dan saksi untuk membantu siasatan.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mangsa mempunyai 11 rekod jenayah lampau.
Next Post Previous Post