Op Selamat 22 Aidilfitri: 7 kes kemalangan maut, 8,804 saman dikeluarkan

KUCHING-- Tujuh kes kemalangan maut direkodkan dalam Op Selamat 22 sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 sepanjang tempoh 8 hingga 13 April tahun ini

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, daripada tujuh kes itu, pengguna kereta merupakan golongan yang paling ramai terkorban dengan jumlah empat orang atau 57.1 peratus.

"Ini diikuti oleh pengguna motosikal iaitu tiga orang atau 42.9 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha berkata sepanjang tempoh itu, Sarawak merekodkan 354 kes kemalangan jalan raya. 

Jelasnya, jumlah ini telah menunjukkan peningkatan iaitu dari sejumlah 325 kes pada Op Selamat 20/2023 kepada sejumlah 354 kes kemalangan jalan raya pada Op Selamat 22/2024 iaitu peningkatan sebanyak 29 kes atau bersamaan 8.9 peratus.

"Sepanjang tempoh ini juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 8,804 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 491.7 peratus atau 7,316 saman berbanding Op Selamat tahun lalu. 

"Peningkatan pengeluaran saman bagi Op Selamat kali ini adalah kerana pihak PDRM telah melaksanakan penguatkuasaan secara 'Total Enforcement' dan penguatkuasaan secara bersasar terhadap kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya," tegasnya.

Namum katanya, tumpuan perkhidmatan kepada pengguna jalanraya dalam kelancaran lalu lintas juga tetap dilaksanakan.

Mengulas tentang punca peningkatan jumlah kemalangan Mancha memberitahu ia kerana kecuaian dan kelalaian pemandu kenderaan sendiri yang gagal mengawal kenderaan semasa memandu iaitu melebihi had laju sehingga terbabas, bertembung depan dengan depan, cual semasa keluar simpangdan langgar belakang. 

"Faktor lain adalah faktor jalan dan bentuk muka bumi seperti jalan berlubang dan selekoh tajam, faktor mekanikal kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan jalan raya," ujarnya.

Menurutnya lagi, secara keseluruhan, Op Selamat 22/2024 PDRM Kontinjen Sarawak telah berjaya merangka strategi merangkumi Op Lancar dan Omnipressense, "Show of Force, Enforcement by Objective" serta advokasi nilai murni dalam memastikan respon penyuraian aliran trafik dijalankan selain memantau trend lalu lintas di lokasi yang sering berlaku kemalangan maut.

Justeru, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.

"Pihak PDRM juga menyeru semua pengguna jalan raya supaya sama-sama kita menjaga keselamatan diri dan orang yang kita sayangi ketika berada di atas jalan raya," tambahnya.
Next Post Previous Post