Jambatan kabel ikonik Piasau - Marina Miri dibina

MIRI— Jambatan kabel menghubungkan Piasau berhampiran Piasau Nature Reserve (PNR) ke Marina Miri yang diilhamkan daripada Jambatan Oakland Bay dan Jambatan Golden Gate di San Francisco, Amerika Syarikat akan menjadi mercu tanda ikonik pelancongan di sini.

Jambatan kabel merentasi sungai Miri di sebelah Piasau dan Laut China Selatan di sebelah Marina Miri itu dijangka menjadi daya tarikan pelancong sekaligus merancakkan aktiviti ekonomi sejajar dengan statusnya sebagai bandar raya peranginan.

Selain menyediakan akses dan menghubungkan penduduk di Pulau Melayu dan sekitarnya ke bandar Miri, pengunjung berpeluang melalui jambatan ini sambil menikmati panorama laut menarik di sepanjang laluan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerajaan telah meluluskan pembinaan jambatan kabel tersebut yang akan menghubungkan Piasau berhampiran Hutan Simpan Piasau ke Marina Miri.

“Jambatan Piasau ini akan menjadi jambatan kabel sama seperti Jambatan San Francisco-Oakland Bay dan Jambatan Golden Gate yang terkenal di Amerika Syarikat.

"Kalau Kuching ada Jambatan Darul Hana, maka kita ada jambatan ikonik di Miri. Nama bagi jambatan saya kita belum tahu, tapi kita akan bina jambatan itu dahulu,”katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Lembaga Amanah Kebajikan Miri di Mega Hotel, malam tadi.

Abang Johari menambah, jambatan kabel itu kelak apabila siap akan menambah satu lagi tarikan pelancongan dan menjadi mercu tanda ikonik baharu kepada Miri.

Dalam pada itu katanya, Miri bersedia untuk berubah menjadi sebuah bandar peranginan yang pesat membangunkan selain memiliki tapak warisan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tambahnya, setelah Taman Negara Niah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kelak, ia menjadikan Miri mempunyai dua Tapak Warisan Dunia selain Taman Negara Gunung Mulu.

“Kedua-dua tapak warisan ini sudah pasti merancakkan lagi sektor pelancongan di Miri,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sumbangan tanggungjawab sosial korporat daripada empat syarikat korporat di bahagian Miri kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri.

Antara sumbangan itu adalah daripada Shin Yang Sdn Bhd sebanyak RM50,000, Empayar Setia Sdn Bhd RM30,000, Kencana Defence & Aviation Sdn Bhd RM 15,000 dan Samling Strategic Corporation sebanyak RM10,000.

Turut menyerikan majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman serta tetamu kenamaan lain.
Next Post Previous Post