4 Suspek Diberkas Berhubung Kes Tipu Wang Tidak Dituntut Babit Kerugian RM175,014
SIBU-- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu memberkas empat suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berhubung kes tipu membuat tuntutan wang tidak dituntut menggunakan dokumen palsu membabitkan kerugian RM 175,014.89.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zukipli Suhaili berkata, tangkapan keempat suspek berusia 28 hingga 42 beserta rampasan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Sibu hari ini dan permohonan reman dipohon bagi siasatan lanjut kes.
Menurutnya, pihaknya telah menerima tiga laporan polis berkaitan tuntutan palsu wang tidak dituntut oleh tiga mangsa yang berbeza.
"Ketiga – tiga mangsa telah membuat semakan melalui sistem E-Gumis Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan mendapati bahawa mangsa mempunyai wang yang tidak dituntut.
"Namun, apabila mangsa cuba untuk membuat
proses tuntutan, didapati wang mangsa telah dituntut oleh individu yang tidak dikenali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketiga - tiga
laporan polis telah dibuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 / 471 Kanun Keseksaan.
"Suspek dipercayai telah menggunakan dokumen palsu seperti salinan sijil kematian palsu, salinan sijil probet palsu dan salinan surat akuan sumpah palsu untuk membuat tuntutan wang tidak dituntut milik mangsa.
"Ketiga-tiga mangsa menafikan mengenali suspek yang membuat tuntutan tersebut dan hadir
ke balai polis membuat laporan untuk tindakan polis selanjutnya," ujarnya.
Katanya,sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan wang tidak dituntut melalui laman E-Gumis, Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan jika terdapat
berlakunya tuntutan palsu, sila lapor kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.