Harap gas masam jadi 'gas manis', masa depan cerah untuk Sarawak
KUCHING -- Industri gas masam di Sarawak diharap menjadi 'gas manis' sekaligus menyumbang kepada ekonomi serta masa depan yang cerah kepada negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini susulan projek gas masam di Bintulu berjalan dengan sangat baik.
"Saya gembira mengatakan di sini bahawa projek gas masam ini berjalan dengan baik dan masa depan ada di sana untuk Sarawak. Saya harap gas masam ini menjadi (gas) 'manis' (kepada Sarawak)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Shell Malaysia di Hotel Hilton di sini, hari ini.
Jelas Abang Johari, kerajaan negeri menyerahkan pihak Shell untuk melaksanakan projek tersebut memandangkan mereka berpengalaman dalam bidang tersebut.
"Mereka sedang menjayakannya, saya serahkan kepada mereka untuk melaksanakannya kerana mereka ini adalah yang terlibat (dalam projek gas masam ini)," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu syarikat minyak dan gas Shell Malaysia sudah berkembang di Sarawak, dengan penubuhan ibu pejabat operasi huluannya ke Miri.
"Shell sudah berkembang di Sarawak dan banyak kakitangan sudah pindah di Miri dan ini bermaksud Miri akan kembali seperti dahulu.
"Kalau aktiviti huluan bertambah bermakna banyak lagi kegiatan hiliran yang akan berlaku di Sarawak," katanya.
Pada masa sama Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak sememangnya menggalakkan pemain industri untuk melabur dan menerokai rizab gas yang terdapat di negeri ini.
"Secara geologi rizab gas terdapat di Sarawak, saya percaya ia sehingga ke bahagian barat Sarawak.
"Namun ia bergantung kepada kemudahan yang ada, sama ada ia memberi sumbangan kepada ekonomi atau tidak, ia sangat bergantung kepada teknologi yang berupaya menerokainya.
"Kalau teknologinya ada bermakna gas dapat dipakai sebagai salah satu rizab gas," tegasnya.
Sebelum ini, Sarawak melabur lebih RM10 bilion untuk menjadikan Bintulu sebagai hab gas masam dengan pembangunan Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES) di Tanjung Kidurong.
Pembangunan itu yang berada dalam Taman Perindustrian Petrokimia (PIP) akan selari dengan cita-cita Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.
"Gas masam dahulunya dianggap tidak menguntungkan jika dibangunkan kerana prosesnya mahal tetapi teknologi baharu telah mengurangkan kos itu dengan ketara," kata Abang Johari pada majlis pecah tanah Fasa Satu hab gas masam SISGES untuk Loji Gas Pesisir Rosmari-Marjoram Bintulu Shell di Tanjung Kidurong tahun lepas.
Gas masam ialah gas asli atau sebarang gas lain yang mengandungi sejumlah besar hidrogen sulfida.