Dua helikopter terhempas korbankan 10 mangsa, TLDM tubuh Lembaga Siasatan

KUALA LUMPUR-- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter TLDM yang terhempas di di Pangkalan TLDM Lumut, pagi tadi.

TLDM dalam kenyataan hari ini mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.32 pagi tadi.

"Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM. 

"Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman," katanya.

Dalam pada itu, TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.

Terdahulu, sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM Ke-90 bertukar tragedi apabila dua helikopter TLDM bertembung di sini pagi tadi.

Menurut maklumat awal, Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.

Pada jam 9.45 pagi, terima maklumat daripada Mk Udara memaklumkan terdapat sebuah HOM (M503-3) dan sebuah Fennec (M502-6) telah bertembung semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan HUT TLDM Ke-90.

“Pesawat HOM telah terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Komplek Sukan TLDM Lumut,” maklum kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, pihak bomba, 96 HAT dan Protela telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Next Post Previous Post