Gelaran "King of The Road" Myvi dirampas Bezza
KUALA LUMPUR-- Kenderaan yang penuh kontroversi di jalanan dan popular dengan gelaran "King of the Road", Perodua Myvi kini kecundang oleh adiknya, Perodua Bezza.
Memetik laporan Sinar Harian, Myvi sebelum ini amat popular di Malaysia sejak 2005 dan terbukti apabila ia dinobatkan kereta paling laris selama lima tahun berturut-turut sejak 2018.
Bagaimanapun, kedudukan ‘Raja Jalanan’ itu diambil alih pesaing yang tidak dijangka Perodua Bezza pada 2023.
Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 56,735 unit Bezza telah didaftarkan pada 2023.
Jumlah itu jauh mengatasi jumlah Myvi yang didaftarkan pada tahun sama, iaitu 45,014 unit.
Faktor mempengaruhi peralihan permintaan kepada Bezza?
Kemungkinan tiga faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna beralih kepada Bezza iaitu harga, penggunaan minyak dan kapasiti bagasi.
Jika dibandingkan dengan harga, keempat-empat model Bezza lebih murah jika dibandingkan dengan kesemua lima model Myvi sekali gus menjadikannya pilihan yang mesra dompet bagi pemandu.
Untuk pengetahuan, harga Bezza (tanpa insurans) antara RM35,580 hingga RM49,980, manakala harga Myvi bermula dari RM46,500 hingga RM59,900 (tanpa insurans).
Mengenai kecekapan minyak pula, Bezza dikatakan lebih baik berbanding Myvi, walaupun hanya sedikit.
Ini dibuktikan dalam laman sesawang Perodua, yang mengatakan model Bezza yang paling jimat minyak mampu mencapai 22.8km/l berbanding model Myvi paling cekap minyak, iaitu 22.2km/l.
Perbezaan kecekapan minyak ini mungkin disebabkan berat Bezza yang lebih ringan iaitu 902.5kg, berbanding purata berat model Myvi iaitu 1,005kg.
Tentang kapasiti bagasi atau bonet simpanan Bezza pula jauh lebih luas berbanding Myvi.
Malah, semua model Bezza mempunyai kapasiti bagasi 508 liter, berbanding hanya 277 liter pada kesemua model Myvi.
Memandangkan saiz median isi rumah di Malaysia ialah 3.8 orang, tidak hairanlah jika ramai melihat Bezza sebagai pilihan lebih sesuai untuk membawa keluarga keluar bersiar-siar atau balik kampung.
Meskipun kelebihan Myvi mungkin terletak pada faktor lain yang tidak dinyatakan di atas, ia nampaknya tidak berjaya mempengaruhi kebanyakan pembeli yang mungkin membuat pemilihan berdasarkan faktor lain seperti keadaan ekonomi semasa.
Kekal 'Raja' di Google
Data carian di Google Trends bagaimanapun menunjukkan Myvi tetap menjadi topik trending di Malaysia.
Dari Januari hingga Disember 2023, Myvi secara konsisten menjana minat carian (search interest) lebih tinggi di Google berbanding Bezza.
Istilah 'Perodua Myvi' mempunyai nilai minat carian purata 82, manakala 'Perodua Bezza' mempunyai nilai purata 38.
Pengguna laman sesawang yang berminat dengan istilah 'Perodua Myvi' dan 'Perodua Bezza' juga membuat pelbagai carian berkaitan.
Ada istilah carian yang lebih popular berbanding yang lain dan mengalami peningkatan mendadak di Google. Ini dinamakan breakout queries.
Bagi 'Perodua Myvi', breakout queries teratas (dengan tertib menurun) adalah 'Proton Saga 2023', 'Myvi facelift 2023', 'Perodua Myvi 2023 价钱 (harga)', 'Myvi 1.3 G 2023', 'Myvi baru 2024', 'Myvi advance 2023', 'Myvi merah viral', 'Myvi X 2023', 'Myvi H 2023', dan 'Myvi 2024'.
Bagi 'Perodua Bezza' pula, breakout queries teratas (dengan tertib menurun) ialah 'Bezza 2024', 'Harga Axia 2023', 'Bezza 2023 价钱 (harga)', 'Harga Saga 2023', 'Harga Myvi 2023', 'Harga Proton Saga 2023', 'Bezza 1.0 G Auto 2023', 'Bezza baru 2024', 'Axia rahmah', dan 'Bezza 2023 launch date'.
Statistik mengikut negeri
Kajian lanjut data carian Google Trends mendapati setiap negeri mempunyai minat berbeza bagi model-model ini.
Istilah 'Perodua Myvi' paling popular di Terengganu (100), Kelantan (97), Kedah (86), Pahang (85), dan Perlis (82). Sementara itu, 'Perodua Bezza' lebih popular di negeri-negeri Sarawak (100), Sabah (81), Labuan (64), Melaka (54), dan Pahang (54).
Populariti 'Perodua Myvi' di negeri Terengganu terpusat di Cukai (100), Paka (95), dan Kerteh (90). Antara breakout queries teratas dari negeri tersebut termasuk carian bagi 'Harga Myvi 2023', 'Myvi advance 2023', 'Granite grey Myvi', 'Carsome', dan 'Harga Axia 2023'.
Sarawak menunjukkan minat yang signifikan dalam 'Perodua Bezza', terutamanya di Bau (100), Sri Aman (83) dan Simunjan (80). Breakout queries teratas dari Sarawak termasuk carian bagi 'Harga Bezza 2023', 'Myvi 2023', 'Bezza X 2023', 'Bezza advance 2023', dan 'Proton Saga 2023'.
Bandar dan pekan mana pula paling ‘minat’ Myvi?
Minat terhadap istilah 'Perodua Myvi' lebih tersebar luas di bandar dan pekan yang terletak di pantai timur Malaysia. Sepuluh bandar dan pekan teratas (dengan tertib menurun) yang mencari istilah tersebut adalah Cukai (Terengganu), Paka (Terengganu), Ketereh (Kelantan), Tanah Merah (Kelantan), Pasir Mas (Kelantan), Langgar (Kedah), Wakaf Bharu (Kelantan), Balok (Pahang), Gua Musang (Kelantan), dan Marang (Terengganu).
'Perodua Bezza' merupakan carian utama bagi bandar dan pekan di Sabah dan Sarawak. Sepuluh bandar dan pekan teratas (dengan tertib menurun) adalah Bau (Sarawak), Sri Aman (Sarawak), Simunjan (Sarawak), Tanjung Kidurong (Sarawak), Beluran (Sabah), Siburan (Sarawak), Bintulu (Sarawak), Lutong (Sarawak), Kudat (Sabah) dan Sandakan (Sabah). - Bernama
Mengenai Data
Data yang dikumpulkan dalam artikel ialah melalui Google Trends dan ianya tepat setakat 5 April 2024.
Google Trends menyepadankan data carian untuk memudahkan perbandingan antara istilah. Keputusan carian disepadankan dengan waktu dan lokasi pertanyaan.
Data Google Trends mencerminkan carian yang dilakukan di Google setiap hari, tetapi juga boleh mencerminkan aktiviti carian yang tidak teratur, seperti carian automatik atau pertanyaan yang mungkin berkaitan dengan percubaan untuk spam hasil carian Google.